Menyewakan rumah boleh membantu anda menjana aliran tunai dan jika strategi diatur secara tepat anda boleh memperoleh pendapatan lebihan daripada wang sewaan bulanan.
Tetapi, harus diingatkan bahawa menyewakan kediaman anda kepada orang luar merupakan keputusan besar kerana jika tersilap penyewa, rumah boleh rosak dan wang juga bakal ‘hangus’ disebabkan kos membaiki kediaman yang rosak bukanlah ratusan ringgit.
Perkongsian di sosial media sudah cukup memberi gambaran bagaimana rumah yang disewakan rosak, kotor malah ada penyewa yang tidak membayar sewa berbulan-bulan meskipun sudah diminta untuk keluar.
Oleh itu, dalam keluaran RINGGIT kali ini, kami ingin berkongsi beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku, sekiranya anda berhasrat untuk menyewakan kediaman anda.
1. Periksa kerosakan dan sediakan rumah anda
Adalah menjadi tanggungjawab pemilik rumah untuk memastikan rumah yang bakal disewakan berada di dalam keadaan baik, jadi anda harus memeriksa terlebih dahulu kediaman bagi memastikan sekiranya terdapat kerosakan ia boleh dibaiki.
Antara bahagian utama yang anda boleh periksa adalah dinding, bumbung, saluran sinki dan tandas, pendaiawan dan soket serta lain-lain lagi.
Jika kediaman anda mempunyai perabot dan kabinet pastikan ia disusun dan berfungsi di dalam keadaan yang baik bagi memberi persepsi positif kepada penyewa bahawa anda menjaga rumah dan barang-barang didalamnya dengan sangat bagus.
2. Tentukan harga
Siapa tidak mahu menyewakan rumah dengan harga tinggi bukan? Jadi, cara terbaik untuk menetapkan harga sewa adalah dengan memastikan kediaman anda berada dalam keadaan sempurna tanpa kerosakan, mempunyai perabot dan perkakas elektrik serta persekitaran yang bersih.
Selain itu, harga sewa juga boleh ditetapkan berdasarkan kemudahan yang terdapat di sekitar kediaman berkenaan seperti pengangkutan awam, kedai runcit, dobi, sekolah, surau dan sebagainya.
Semua faktor di atas mampu menarik minat penyewa sekiranya anda memberikan mereka tawaran hebat dari segi harga seiring dengan apa yang bakal mereka peroleh apabila menyewa rumah anda.
3. iklankan rumah sewa
Jika anda memerlukan penyewa dengan kadar segera khidmat perunding atau ejen hartanah adalah pilihan tepat. Segala urusan pengiklanan akan dilakukan ejen yang anda lantik.
Tetapi jika anda tidak mahu menggunakan khidmat mereka, jangan khuatir anda masih boleh mengiklankan rumah sewa anda sendiri di laman sesawang seperti mudah.my serta laman sosial seperti Facebook dan lain-lain lagi.
Cuma anda perlu bersabar jika rumah sewa yang diiklankan kurang mendapat sambutan. Kerana itu, kami rasa menggunakan khidmat perunding atau ejen hartanah adalah cara terbaik memandangkan mereka turut menggunakan platform pemasaran yang berbayar.
4. Tapis penyewa
Bagi mengelakkan daripada mendapat penyewa yang tidak bertanggungjawab anda perlu menapis setiap individu yang menghubungi anda untuk menyewa rumah yang sudah diiklankan.
Sebaiknya anda sendiri berjumpa dengan bakal penyewa untuk menilai karakter mereka selain bertanya mengenai pekerjaan, gaji, status perkahwinan dan lain-lai lagi.
Jika boleh dapatkan slip gaji bagi memastikan individu berkenaan mempunyai pekerjaan. Bukan apa, jika mereka tidak bekerja dan menyewa kediaman anda bagaimana mereka mahu membayar sewa? Takut nanti penyewa tersebut lari dan anda tidak dapat apa-apa.
Kalau menggunakan khidmat perunding atau ejen hartanah boleh minta mereka uruskan dan tidak perlu peningkan kepala, cuma sebaiknya semasa penyewa ingin melihat rumah anda boleh berada bersama bagi menilai sendiri bakal penyewa rumah anda.
5. Sediakan surat perjanjian sewa rumah
Ramai pemilik rumah mengabaikan perkara penting ini, bagi mereka menyediakan surat perjanjian sewa seolah-olah menakutkan penyewa dan khuatir tiada yang mahu menyewa kediaman mereka. Tetapi tanpa mereka sedari perkara itu boleh menjerut leher mereka sendiri sekiranya mendapat penyewa yang bermasalah.
Jadi nasihat kami tolong sediakan surat perjanjian sewa rumah dan anda boleh meletakkan syarat-syarat yang munasabah serta tidak membebankan kedua-dua belah pihak.
Harus diingatkan kontrak sewa rumah bukan sahaja mampu melindungi hak anda sebagai tuan rumah dari segi perundangan, ia juga adalah sebuah garis panduan untuk penyewa patuhi sepanjang penyewaan mereka.
Bagi penyewa pula anda harus membaca semua perjanjian yang ditulis dan jika ada yang anda tidak bersetuju boleh berbincang terus dengan tuan rumah dan akhir sekali perjanjian sewa ini juga perlu lengkap disetemkan bagi menjamin hak pemilik dan penyewa.
6. Kutipan sewa
Bagi memudahkan penyewa membayar sewa secara bulanan anda perlu mempunyai kaedah dan arahan pembayaran yang jelas seperti bila tarikh bayaran dan bagaimana mereka boleh membayar sewa kepada anda.
Sebaiknya tetapkan tarikh pembayaran sewa rumah selepas hari peggajian penyewa anda kerana ia dapat mengurangkan risiko mereka melengah-lengahkan bayaran sewa dan anda juga boleh mengingatkan penyewa mengenai bayaran bulanan beberapa hari sebelum tarikh bayaran sewa.
Bagi kaedah bayaran pula anda tidak perlu khuatir kerana zaman sekarang semakin mudah, penyewa boleh terus membayar sewa melalui perbankan atas talian.
Semoga panduan yang kami kongsikan ini dapat memberi manfaat kepada anda yang ingin menyewakan rumah dan perlu diingatkan, apabila kediaman sudah disewakan anda perlu menjaga privasi penyewa.
Jika ingin memeriksa rumah boleh maklumkan kepada penyewa lebih awal supaya mereka bersedia dan tidak diganggu. – UTUSAN










