PETALING JAYA: Eksport Malaysia ke negara rakan dagangan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) menokok sebanyak 0.3 peratus kepada RM83.89 bilion pada Mei 2023, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi tempoh tersebut, import susut 4.5 peratus kepada RM69 bilion, jelasnya.
DOSM berkata, perdagangan dengan rakan dagangan FTA yang menyumbang 68.3 peratus atau RM152.9 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia bagaimanapun menurun 1.9 peratus tahun ke tahun.
Jelasnya, kenaikan eksport telah direkodkan ke Australia yang meningkat 28.7 peratus kepada RM4.89 bilion, ROK (naik 10.3 peratus kepada RM4.65 bilion) dan New Zealand (naik 5.5 peratus kepada RM794.7 juta) disokong oleh eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum.
“Eksport ke Mexico menokok 6.8 peratus kepada RM1.35 bilion disumbangkan oleh pertambahan eksport barangan besi dan keluli manakala eksport ke Peru (naik 60.5 peratus kepada RM58.4 juta, jentera, kelengkapan dan peralatan).
“Berbanding April 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing naik sebanyak 14.1 peratus, 12.2 peratus dan 16.5 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Menurut DOSM, perdagangan dengan rakan dagang FTA pada lima bulan pertama 2023 bagaimanapun menurun 1.7 peratus kepada RM723.85 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Eksport menyusut secara marginal sebanyak 0.6 peratus kepada RM406.02 bilion manakala import mengurang 3 peratus kepada RM317.82 bilion, jelasnya.
Dalam pada itu, DOSM menyatakan, jumlah import pada Mei 2023 mengurang 3.3 peratus tahun ke tahun kepada RM104.19 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Mei pula, import berkurang 1 peratus kepada RM486.96 bilion berbanding tempoh yang sama 2022.
“Import barangan pengantara mengurang 10.1 peratus kepada RM251.56 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas, barangan modal (naik 5 peratus kepada RM47.35 bilion) dan barangan penggunaan (menokok 1.1 peratus kepada RM41.59 bilion),” katanya. – UTUSAN










