Eksport ke China berkembang 1.5% kepada RM15.49 bilion

Eksport ke China pada Mei berkembang 1.5 peratus kepada RM15.49 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Eksport Malaysia ke China pada Mei 2023 berkembang 1.5 peratus kepada RM15.49 bilion setelah mencatatan penyusutan selama lima bulan berturut-turut.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pertumbuhan dipacu oleh peningkatan permintaan bagi bijih logam dan serpihan logam, LNG serta kimia dan bahan kimia.

Jelasnya, import dari negara itu pula berkurang 1.4 peratus kepada RM21.58 bilion.

“Pada Mei 2023, perdagangan dengan China yang menyumbang 16.6 peratus atau RM37.07 bilion kepada jumlah perdagangan Malaysia berkurang secara marginal sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun. Berbanding April 2023, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 8.9 peratus, 12.1 peratus dan 6.7 peratus,” katanya dalam kenyataan.

DOSM menjelaskan, perdagangan dengan China bagi tempoh Januari hingga Mei 2023 bagaimanapun mengurang 4.3 peratus kepada RM179.76 bilion berbanding tempoh yang sama 2022.

Jelasnya, eksport menguncup 8.9 peratus kepada RM75.31 bilion berikutan penyusutan eksport barangan besi dan keluli, barangan E&E dan keluaran petroleum.

“Namun begitu, eksport yang kukuh telah direkodkan bagi LNG serta bijih logam dan serpihan logam. Import dari China turun 0.6 peratus kepada RM104.45 bilion,” jelasnya lagi.

Sementara itu eksport ke Jepun naik 2.1 peratus kepada RM7.17 bilion setelah mencatatkan pertumbuhan negatif pada bulan lepas. Ia disokong oleh eksport yang kukuh bagi petroleum mentah dan LNG. Import dari Jepun pula susut 1.9 peratus kepada RM6.28 bilion.

Bagi perdagangan Malaysia dengan Kesatuan Eropah, DOSM berkata, ia menyusut sebanyak 1.2 peratus tahun ke tahun kepada RM17.2 bilion, dengan eksport bernilai RM9.15 bilion, susut 6.1 peratus.

Menurut DOSM, bagi tempoh lima bulan pertama 2023, perdagangan dengan EU menyusut 1.1 peratus kepada RM84.87 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2022.

Eksport bernilai RM46.5 bilion, menguncup 9.4 peratus berikutan pengurangan eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta keluaran getah.

“Namun begitu, kenaikan eksport telah dicatatkan bagi keluaran petroleum, barangan optik dan saintifik serta minyak sayuran lain. Import dari EU meningkat 11.3 peratus kepada RM38.37 bilion,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×