Ejen hartanah bukan sekadar kaut untung atas angin

Ejen hartanah bukan sekadar kaut untung atas angin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH memilih rumah idaman, sudah tentu pelbagai proses perlu dilalui untuk menjadikan hartanah itu sah milik anda.

Jadi, sebilangan besar daripada pembeli rumah menggunakan khidmat ejen hartanah untuk berurusan dengan pelbagai pihak terutamanya pihak bank untuk proses mendapatkan pinjaman.

Begitu juga dengan pemaju atau pemilik rumah yang ingin menjual rumah mereka, pastinya lebih memilih untuk menggunakan khidmat ejen hartanah.

Namun, timbul persoalan, adakah kehadiran ejen hartanah dalam urusan jual beli pemaju atau pemilik rumah dengan pembeli ini menjadikan harga rumah sesebuah rumah itu lebih mahal?

Menurut ejen hartanah, Amrillah Najmin, peranan ejen hartanah sebenarnya memudahkan kedua-dua pihak dan bukannya sekadar mengaut untung atas angin.

Ujarnya, apabila pembeli berminat dengan sesebuah hartanah, ejen hartanah akan membuat semakan kelayakan pinjaman terlebih dahulu bagi memastikan pembeli tidak mempunyai sebarang masalah.

“Jika pembeli tidak layak untuk mendapat pinjaman dengan jumlah tersebut, ejen hartanah akan membantu pembeli dengan mencadangkan hartanah lain yang setara dengan keinginan pembeli namun lebih rendah harganya.

“Untuk pemilik hartanah pula, ejen akan membuat semakan dari segi pasaran terkini unit yang hendak dijual dan mencadangkan nilai mengikut harga semasa.

“Dalam kes ini, ada pemilik yang mahu menjual unit mereka dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran yang sudah tentu merumitkan pencarian pembeli, jadi ejen akan memberi khidmat nasihat mengenai nilai yang sepatutnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menegaskan, ejen hartanah turut membantu pemaju berpandukan lantikan pemaju tersebut.

“Ramai ejen hartanah yang turut berkecimpung dalam pasaran sekunder yang menawarkan rumah subsale dan sebagainya.

“Jadi, jika pembeli itu tidak berkemampuan untuk membayar deposit untuk rumah subsale, mereka akan salurkan bakal pembeli itu kepada pemaju-pemaju yang baru melancarkan projek mereka yang tidak memerlukan deposit.

“Dari situ, mungkin prospek pembeli rumah subsale itu akan berminat dengan projek baharu oleh pemaju tersebut walaupun perlu menunggu beberapa tahun lagi untuk disiapkan,” ujarnya.

Amrillah berkata, sepatutnya pemilik dan pembeli menggunakan ejen hartanah untuk mendapatkan khidmat nasihat berguna mengenai pasaran hartanah supaya lebih memahami proses pemilikan dan sebagainya.

“Sekiranya ada pihak mengatakan nilai hartanah itu menjadi lebih mahal dengan adanya ejen hartanah, itu sama sekali tidak benar kerana kos ejen dibayar oleh pemilik dan tiada isu mengatakan kos lebih tinggi dengan penggunaan ejen.

“Jika harga rumah itu RM500,000, pembeli akan tetap membayar mengikut nilai tersebut dan tiada sebarang caj tambahan untuk ejen,” katanya.

Malah, tegasnya, menggunakan ejen hartanah yang berdaftar sebenarnya lebih selamat kerana sebarang transaksi tempahan dan deposit menggunakan akaun agensi yang berperanan sebagai pengurus pemegang kepentingan (stakeholder).

“Apabila sudah termeterai perjanjian jual beli, barulah wang deposit tersebut diserahkan kepada pemilik dan sekiranya berlaku sebarang perkara contohnya pinjaman bank pembeli tidak diluluskan, wang deposit tersebut akan dipulangkan semula oleh agensi.

“Namun, jika pembeli memasukkan wang deposit terus kepada pemilik rumah dan pemilik tidak jujur, mungkin keadaan akan bertambah rumit kerana transaksi berlaku di antara dua pihak tanpa agensi pemantau,” ujarnya.

Jelas beliau, aktiviti agensi hartanah sentiasa dipantau oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah Dan Pengurus Harta (LPPEH) di bawah Kementerian Kewangan (MoF).

“Sekiranya berlaku isu penipuan dan sebagainya, setiap individu terlibat boleh membuat aduan kepada lembaga tersebut. Ia lebih selamat berbanding membuat pembayaran terus kepada pemilih unit yang mungkin disalah guna.

“Semua proses yang dilakukan oleh ejen hartanah mempunyai hitam putih dan sekiranya dilantik oleh pihak pemilik untuk menjual rumah mereka pun akan disertakan dengan surat lantikan.

“Jadi, jika pembeli berurusan dengan ejen hartanah berdaftar yang dipercayai, segala proses akan menjadi lebih mudah dan risiko untuk ditipu juga lebih rendah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×