PETALING JAYA: Hong Leong Islamic Bank Berhad (HLISB) mengumumkan Dafinah Ahmed Hilmi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu.
Pelantikan Dafinah menggantikan Jasani Abdullah yang bersara pada hujung April 2023 selepas 16 tahun berkhidmat di HLISB, di mana beliau menyandang jawatan CEO cabang perbankan Islam Hong Leong Bank (HLB) selama enam tahun.
Menurut HLISB, Dafinah membawa bersama beliau pengalaman dalam bidang perbankan konvensional dan Islam selama 23 tahun.
“Sebelum ini, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan dalam pelbagai bidang di dalam industri perbankan, termasuk jawatan terakhirnya sebagai Pengarah Perbankan Komersial di HSBC Amanah Malaysia Berhad.
“Selama 19 tahun sebelum ini, beliau telah berkhidmat di HSBC dalam sektor-sektor termasuk Perbankan dan Pasaran Global, Kewangan Perdagangan dan Penghutang Global serta Perbankan Komersial patuh syariah,” katanya dalam kenyataan.
Dafinah yang memulakan kerjayanya di UOB Malaysia merupakan Graduan MBA dari
Alliance Manchester Business School, University of Manchester, United Kingdom (UK) dan memiliki ijazah Perakaunan dan Pengurusan Kewangan dari University of Essex, UK
.
Bercakap mengenai peranan baharu, Dafinah berkata, beliau bangga kerana diberi peluang untuk membawa HLISB ke atas landasan pertumbuhan yang menarik dalam sektor perbankan Islam di Malaysia.
“Dengan gabungan asas pendigitalan yang kukuh serta budaya bank yang mengutamakan pelanggan dan kelestarian, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan seterusnya menjana nilai dan impak jangka panjang yang berterusan bagi semua pihak berkepentingan,” ujarnya. – UTUSAN