Bursa, ringgit dijangka kekal rendah sebulan lagi

Bursa, ringgit dijangka kekal rendah sebulan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dan mata wang tempatan ringgit, dijangka akan terus kekal rendah bagi tempoh sebulan lagi meskipun Rizab Persekutuan AS mengambil langkah mengekalkan kadar faedahnya semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, keputusan bank pusat Amerika Syarikat (AS) itu tidak akan memberi kesan serta-merta ke atas prestasi saham tempatan dan ringgit.

Menurut Barjoyai, sebelum ini penganalisis AS menjangkakan kadar faedah bakal naik sebanyak 50 mata asas namun, keputusan yang dibuat semalam memberi isyarat jelas kepada mereka bahawa ekonomi AS telah mereda dan tidak memerlukan suntikan kadar faedah.

“Tindakan tersebut memberi isyarat ke seluruh dunia bahawa pelabur AS dan mereka yang melabur dalam dolar AS tidak lagi perlu menjual saham mereka di negara lain dan membawa pulang mata wang tempatan itu.

“Bagaimanapun semua itu baru satu asas sahaja kerana saya menjangkakan akan wujud tempoh penyejukan (cooling period) di mana para pelabur AS akan ambil sikap tunggu dan lihat sekiranya ada perubahan dalam masa singkat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelabur AS dan asing yang melabur dalam dolar AS dijangka akan menghentikan jualan saham mereka di pasaran Bursa Malaysia sepanjang tempoh cooling period berkenaan.

Jelas beliau tindakan ber­kenaan akan membantu menstabilkan pasaran saham dan mata wang tempatan, namun untuk kedua-duanya naik memerlukan masa sehingga sebulan.

“Jadi untuk melonjak semula Bursa Malaysia dan menaikkan nilai ringgit kita perlu mengharapkan pelabur dalam negeri mengambil inisiatif menjadi pemangkin memulakan pelaburan dan melonjakkan pasaran.

“Apabila pasaran saham kita mula melonjak ia akan mewujudkan insentif kepada pelabur asing untuk masuk semula ke Bursa Malaysia dan mengukuhkan ringgit,” katanya.

Barjoyai berkata, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meningkat secara perlahan dan melepasi paras 1,400 mata sekitar ming­gu hadapan sebelum terus me­ningkat dalam lingkungan 1,500 mata dalam tempoh satu bulan.

“Untuk ringgit pula saya menjangkakan ia akan stabil dalam lingkungan RM4.60 berbanding dolar AS bagi tempoh seminggu akan datang dan kemudian boleh meningkat sehingga RM4.50 dalam sebulan lagi,” katanya.

Terdahulu, Fed AS mengekalkan kadar penanda arasnya pada 5.25 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) susulan ekonominya yang lebih kukuh daripada jangkaan dan kadar inflasi yang semakin perlahan.

Sementara itu, Indeks FBM KLCI semalam ditutup pada 1,381.73 mata iaitu 3.69 mata lebih rendah daripada 1,385.42 pada penutupan urus niaga kelmarin, manakala ringgit pula ditutup sedikit tinggi pada 4.634/632 berbanding 4.622/619 kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN