PETALING JAYA: Boustead Holdings Berhad (Boustead) akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities Berhad berkuat kuasa pukul 9 pagi pada 28 Jun ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, langkah penyahsenaraian itu adalah selaras dengan ketetapan Perengan 16.07(a) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.
Pada Mac lepas, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah membuat tawaran pengambilalihan secara sukarela bagi 40.58 peratus kepentingan atau 822.51 juta saham dalam Boustead serta merancang untuk menjadikannya sebagai syarikat persendirian.
LTAT yang pada masa ini menguasai 59.4 peratus kepentingan dalam Boustead, dijangka membayar sejumlah RM703.2 juta atau 85.5 sen sesaham bagi langkah itu.
Usaha pengambilalihan itu selesai pada Jun dengan pegangan saham LTAT dalam Boustead berjumlah kira-kira 97.63 peratus, sekali gus membolehkan penyahsenaraian syarikat serta pembatalan peruntukan pengambilalihan wajib bagi baki saham.
Media sebelum ini melaporkan, syarikat itu akan mula melaksanakan strategi baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk memperhebatkan lagi transformasi Kumpulan di bawah struktur pegangan saham baharu setelah selesai proses nyahsenarai.
Pada 12 Jun 2023, LTAT mengumumkan kejayaan pengambilalihan Boustead pada tarikh tutup tawaran, kata Kumpulan itu dalam satu kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan ke-61 Boustead yang diadakan secara maya.
“Selaras dengan perenggan 16.07 keperluan penyenaraian, Boustead akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi penarikan balik status penyenaraiannya daripada senarai rasmi Bursa Securities,” katanya.
Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman, berkata penyahsenaraian itu akan menandakan lembaran baharu dalam sejarah Kumpulan dan penetapan semula akan dibuat secara ‘objektif, bertanggungjawab dan mampan dalam membuka kunci nilai’.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Boustead, Izaddeen Daud berkata, selain langkah nyahsenarai, kumpulan yakin dengan daya tahan perniagaan terasnya yang pelbagai.
“Kami akan terus mempertajamkan fokus terhadap program peningkatan prestasi serta melaksanakan strategi pengurusan kos yang berhemat untuk melonjakkan kecekapan operasi dan memacu margin keuntungan.
“Selain itu, kami sedang giat meneroka aliran pendapatan baharu dan memperkemas aset bukan strategik bagi memacu pertumbuhan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










