PETALING JAYA: Boustead Holdings Berhad (BHB) menegaskan bahawa pihaknya tidak mengadakan sebarang perbincangan material setakat ini mengenai spekulasi penjualan Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol).
Malah BHB berkata, pihaknya tidak melantik mana-mana penasihat untuk potensi urus niaga korporat seperti dilaporkan.
“Kami juga ingin menjelaskan bahawa Kumpulan tidak membuat sebarang pembelian saham daripada pemegang saham BHPetrol yang lain, juga tidak membuat sebarang pengumuman terdahulu mengenai perkara itu,” katanya dalam kenyataan.
BHB mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan laporan spekulasi penjualan BHPetrol.
Menurut BHB, tumpuan kini sepenuhnya pada tetapan semula seluruh Kumpulan selepas selesainya pengambilalihan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan penyahsenaraian BHB.
Jelasnya, Kumpulan akan mengumumkan pelan transformasi selaras dengan komitmen rancangan untuk ketelusan.
“Keutamaan kami adalah untuk menyelaraskan semula secara strategik, mengoptimumkan portfolio kami dan memperuntukkan sumber kepada kawasan yang menawarkan potensi pulangan lebih tinggi, memacu pertumbuhan yang mampan sambil memaksimumkan pulangan untuk pemegang saham kami tepat pada masanya,” katanya.
Menurut laporan Bloomberg memetik sumber, BHB sedang mempertimbangkan untuk menjual stesen minyaknya di Malaysia pada pertimbangan sebanyak RM2 bilion (AS$432 juta).
Laporan itu menyebut, BHB sedang bekerjasama dengan penasihat untuk menjual BHPetrol. Ia susulan pengambilalihan Kumpulan itu oleh LTAT.
Dana pencen itu memegang 97.6 peratus saham konglomerat itu, dan akan menggantung dagangan mulai 20 Jun, selepas itu ia akan meneruskan penyahsenaraian, menurut pengumuman di Bursa.
BHPetrol yang diasaskan pada 2006, mempunyai rangkaian kira-kira 400 stesen perkhidmatan runcit di seluruh Semenanjung Malaysia, menurut laporan itu memetik maklumat di laman webnya. Syarikat itu menjual bahan api gred premium dan produk petroleum serta gas petroleum cecair dan pelincir. – UTUSAN










