Automotif: Keyakinan pengguna dijangka kekal kukuh

Automotif: Keyakinan pengguna dijangka kekal kukuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Research mengekalkan saranan overweight terhadap sektor automotif, susulan jumlah keseluruhan industri (TIV) yang me­ningkat 33 peratus kepada 61,795 pada Mei berbanding April.

Ini berikutan hari bekerja yang lebih sedikit pada bulan sebelumnya dan penutupan loji untuk penyelenggaraan rutin tahunan semasa cuti Hari Raya.

Penganalisis Kenan Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, TIV bagi lima bulan pertama tahun ini secara kumulatif adalah sebanyak 300,978 unit dan TIV pada Jun dijangka mengikut jejak Mei pada tahap pengeluaran yang sama.

Katanya, firma penyelidikan tersebut mengekalkan unjuran TIV keseluruhan 2023 sebanyak 720,000 unit yang akan sepadan dengan tahap rekod yang dicapai pada tahun lalu.

“Unjuran kami disokong oleh keyakinan pengguna yang kukuh disokong oleh ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat.

“Selain itu, ia didorong oleh harga kenderaan yang mampu milik disokong oleh harga kereta baharu yang stabil hasil penang­guhan peraturan duti eksais ba­haru dan kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dengan pengenalan kaedah mengurangkan baki dalam pe­ngiraan caj faedah serta model baharu yang menarik,” katanya dalam nota penyelidikan, baru-baru ini.

Beliau berkata, unjuran firma penyelidikan itu 11 peratus lebih tinggi daripada 650,000 unit yang diunjurkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

“Jumlah tunggakan tempahan industri telah bertahan pada tahap yang agak kukuh iaitu 275,000 unit yang tidak berubah dari sebulan yang lalu walaupun dengan penghantaran banyak.

“Ini menunjukkan minat belian kukuh yang berterusan, didorong oleh pelancaran model baharu yang menarik oleh pemain. Kami meramalkan corak yang sama sepanjang tahun ini,” ujarnya.

Tambahnya, pilihan utama sektor firma itu adalah MBM Resources (MBMR) dengan saranan outperform pada harga sasaran (TP) RM4.70 dan Bermaz Auto Berhad (outperform; TP: RM3.10), yang mana kedua-duanya dengan hasil dividen yang menarik melebihi tujuh peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN