PETALING JAYA: Astro Malaysia Holdings Berhad (AMH) merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ternormal sebanyak RM62 juta untuk tiga bulan pertama tahun kewangan berakhir 2024, menyusut berbanding RM119 juta yang dicatatkan dalam suku sama 2023.
Astro turut mencatat hasil sebanyak RM891 juta dalam suku tinjauan dengan segmen jalur lebar dan perusahaan menunjukkan peningkatan positif tahun ke tahun.
Keuntungan sebelum cukai, faedah, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Kumpulan meningkat 36 peratus suku ke suku kepada RM248 juta dalam suku pertama 2024 disebabkan kos kandungan sukan yang tinggi menerusi suku keempat tahun kewangan berakhir 2023.
Selain itu, Astro merekodkan pendapatan Kumpulan sebanyak RM891 juta dan pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) yang meningkat RM1.30 tahun ke tahun kepada RM98.70.
Menurut kenyataan, PATAMI turut diimpak oleh nilai foreks tidak direalisasi yang tinggi kerana liabiliti pajakan transponder ketika nilai dolar Amerika Syarikat diperkukuhkan.
“Kumpulan kekal menjana wang dan proaktif dalam pengurusan kapital. Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 0.25 sen sesaham, dalam keadaan berhati-hati ketika Astro terus melabur semula dalam transformasi jangka masa panjang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, Kumpulan mengambil langkah berani untuk mentransformasikan Astro kepada sebuah syarikat digital, penstriman.
“Sebanyak 25 peratus pelanggan kami kini menikmati pek-pek TV penstriman yang menawarkan 11 aplikasi penstriman premium selain daripada rancangan-rancangan hebat kami termasuk Astro Originals, signatures bersiaran langsung, sukan, filem, berita dan kanak-kanak.
“Pek-pek TV baharu kami yang boleh digabungkan dengan perkhidmatan jalur lebar, Astro Fibre melihat peningkatan berterusan di mana para pelanggan boleh strim tanpa gangguan hiburan on demand dan menikmati nilai hebat,” katanya.
Jelas beliau, memandangkan pasaran tontonan dikuasai kandungan tempatan, Astro merupakan pengeluar kandungan tempatan terbesar dengan kandungan-kandungan yang berjaya menempah kejayaan hebat seperti One Cent Thief, Projek: High Council dan Liar serta signature tempatan seperti musim kesembilan Gegar Vaganza dan Big Stage.
“Filem blokbuster terkini kami, Polis Evo 3 setakat ini telah mengumpul RM50 juta dan merupakan filem blokbuster nombor satu di Malaysia, mengalahkan filem-filem blockbuster Hollywood.
“Pengagregat strategi OTT kami kian maju. WeTV merupakan antara yang terbaharu menyertai Astro seperti aplikasi-aplikasi penstriman yang lain seperti BBC Player, beIN SPORTS CONNECT, Disney+ Hotstar, HBO GO, iQIYI, Netflix, TVBAnywhere+, Viu dan ZEE5, termasuk Astro GO,” ujarnya.
Euan berkata, tahun kewangan 2024 akan menyaksikan AStro meneruskan perjalanan untuk menjadi Destinasi Hiburan dan Penstriman rakyat Malaysia dengan melabur menerusi transformasi jangka masa panjang dan pertumbuhan mampan.
“Ini termasuk memberi pengalaman kandungan hebat di seluruh platform kami menerusi Astro Baharu dan menjadi pengagregat nombor satu di Malaysia untuk aplikasi penstriman dan gaya Hidup,” ujarnya. – UTUSAN










