PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi bakal memperkenalkan undang-undang khusus bagi membanteras amalan ali baba dalam kalangan usahawan.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata, pihaknya sedia membawa isu tersebut ke Parlimen agar dapat digubal peraturan spesifik dalam bentuk akta baharu.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak kementerian akan membawa isu ali baba pada sesi mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 11 Julai depan.
Setakat ini ujarnya, pelaku ali baba hanya boleh disiasat dan didakwa mengikut Kanun Keseksaan kerana sukar dibuktikannya sebagai bentuk spesifik untuk kesalahan rasuah.
Keadaan itu mengakibatkan ada pihak tidak bertanggungjawab yang bebas menyewa lesen perniagaan kepada warga asing malah menjadikan bisnes dengan meraih laba besar.
“Memang kementerian saya ada kenal pasti masalah ini yang sebenarnya boleh dianggap semacam jenayah rasuah tetapi gejala begini kian berleluasa.
“Insya-Allah saya sedang meneliti segala input yang diterima daripada pelbagai pihak dan berharap siri perbincangan sebegini dapat dijadikan sebagai akta khusus,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menyertai sesi libat urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 peringkat Wilayah Persekutuan dengan pelbagai agensi yang terlibat di sini, hari ini.
Gejala ali baba pernah menggemparkan negara pada 2021 apabila seorang bergelar Datuk didakwa kerana membentuk kartel projek dengan memegang 150 syarikat berbeza.
Suspek berjaya memanipulasi sistem perolehan tender kerajaan dengan licik memonopoli permohonan bidaan malah setiap syarikat ada pengarah dibayar gaji sehingga RM8,000. – UTUSAN










