8 kos yang perlu disediakan untuk beli rumah `subsale’

8 kos yang perlu disediakan untuk beli rumah `subsale’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terdapat pelbagai jenis hartanah yang boleh dipilih dan dijadikan kediaman impian untuk keluarga mahupun individu.

Sekiranya anda bercadang mencari rumah untuk diduduk  atau tujuan pelaburan, dalam pasaran hartanah terdapat tiga segmen utama iaitu pasaran primer atau ‘undercon’, subsale dan lelong, yang boleh dipertimbangkan.

Artikel kali ini akan memberi panduan kepada anda mengenai kos-kos yang perlu disediakan untuk membeli rumah subsale.

Rumah subsale adalah rumah yang dibeli daripada pemilik sedia ada, manakala rumah baharu atau masih dalam pembinaan pula adalah rumah yang dibeli daripada pemaju.

Menurut Faiz Azmi daripada Financial Faiz, terdapat lapan kos yang perlu dibayar.

  • Pertama, kos tempahan sebanyak 3.18 peratus di mana ia akan dibayar kepada ejen hartanah rumah itu.

Selepas membuat pembayaran, anda akan menerima borang tempahan yang akan digunakan untuk memohon pinjaman perumahan daripada pihak bank.

  • Kedua, 10 peratus deposit yang perlu dibayar semasa mahu menandatangani perjanjian jual beli (SPA).

Tetapi, perlu diingatkan 3.18 peratus yang sudah dibayar kepada ejen hartanah tadi sudah termasuk sebagai sebahagian daripada 10 peratus deposit yang perlu dibayar.

Jadi,  apabila mahu menandatangani perjanjian itu, anda cuma perlu membayar baki 6.82 peratus kepada ejen hartanah tersebut.

Jika ada ejen yang meminta duit daripada anda selain 3.18 peratus itu, anda boleh membuat laporan kepada badan-badan yang memantau ejen hartanah.

  • Ketiga, kos peguam SPA, di mana mereka adalah `tulang belakang’ kepada transaksi yang perlu dilakukan seperti transaksi 6.82 peratus yang disebutkan tadi.

Jika mereka lambat atau tidak tahu buat kerja, anda yang kena bayar penalti kepada bank atau vendor.

Jadi, pilihlah peguam yang betul dan berpengalaman bagi memudahkan urusan anda membeli rumah.

Tugas mereka adalah untuk kejar pejabat tanah dan bank vendor kerana mungkin vendor masih mempunyai hutang dengan bank lamanya.

Peguam ini juga perlu tahu berapa yang diperlukan untuk bayar hutang dan berapa banyak mahu dibayar untuk buat penyelesaian penuh.

Bank pula memang tidak akan berurusan dengan orang biasa, jadi macam mana pun anda perlu mengupah peguam.

Berapa kos peguam yang perlu dibayar? Ia bergantung kepada perjanjian yang dilakukan itu. Lagi mahal rumah yang dibeli, lagi besar perjanjian itu dan lagi mahal juga kos profesional dan caj pengeluaran yang perlu dibayar.

Caj profesional itu jadualnya ditentukan oleh Bar Malaysia, jadi kita tidak boleh mengenakan caj sesuka hati.

Sebagai contoh, kalau rumah itu harganya RM900,000, RM500,000 yang pertama dicaj 1.0 peratus iaitu sebanyak RM5,000.

RM400,000 yang seterusnya itu darab dengan 0.8 peratus = RM3,200. RM5,000 tambah RM3,200 sama dengan RM8,200. Jadi itulah jumlah caj profesional yang perlu dibayar kepada peguam anda.

  • Keempat, kos duti setem ke atas SPA yang dilakukan. Kerajaan suka anda membeli rumah dan kereta kerana setiap kali transaksi dilakukan kerajaan boleh mengenakan cukai.

Untuk harga duti setem itu turut bergantung kepada SPA ataupun harga yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengiraannya juga turut mempunyai jadual. Sebagai contoh,  bergantung kepada harga rumah, RM100,000 pertama dikenakan 1.0 peratus, RM400,000 yang seterusnya dikenakan 2.0 peratus, RM500,000 yang seterusnya dikenakan 3.0 peratus dan amaun seterusnya dikenakan 4.0 peratus.

  • Kelima,  perjanjian pinjaman di mana perjanjian itu dilakukan antara peminjam dengan bank.

Anda sebagai pembeli rumah akan menggunakan pinjaman bank dan mempunyai dua perjanjian iaitu SPA dan perjanjian pinjaman.

Fi perjanjian pinjaman ini bergantung kepada jumlah amaun yang dipinjam. Jika anda membeli rumah bernilai RM500,000, pinjaman yang diluluskan mungkin sebanyak 90 peratus daripada harga rumah, dicampur dengan 2.0 peratus pembiayaan yuran guaman.

  • Keenam, duti setem untuk perjanjian pinjaman itu pula. Pengiraan setem duti untuk perjanjian pinjaman memang mudah, iaitu 0.5 peratus daripada nilai perjanjian pinjaman yang dilakukan.

Duti setem untuk perjanjian pinjaman ini boleh dimasukkan ke dalam pinjaman dengan bank, berbeza dengan SPA dan duti setem SPA yang perlu dibayar sendiri.

  • Ketujuh, fi penilaian di mana bank akan menghantar penilai hartanah untuk memeriksa keadaan rumah itu.

Penilai hartanah itu akan datang membuat lawatan untuk memastikan apa yang dimohon sama dengan apa yang dinilai itu dan seterusnya membuat laporan kepada pihak bank untuk menentukan harga pasaran rumah tersebut.

Fi penilaian yang perlu dibayar untuk RM100,000 pertama sebanyak 0.25 peratus, untuk RM100,000 sampai RM2 juta, 0.2 peratus dan RM2 juta sampai RM7 juta 0.167 peratus.

  • Kelapan, Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurang (MRTT) dan Takaful Bertempoh Gadai Janji Mendatar (MLTT).

Ia adalah insurans untuk si peminjam. Sekiranya apa-apa terjadi kepada anda, hutang itu perlu dihapuskan. – UTUSAN

 

INFO:


8 kos beli rumah subsale:

  1. Kos tempahan sebanyak 3.18%
  2. 10% deposit untuk SPA
  3. Kos peguam SPA
  4. Kos duti setem SPA
  5. Fi perjanjian pinjaman bersama bank
  6. Kos duti setem untuk perjanjian pinjaman
  7. Fi penilaian hartanah
  8. Kos insurans untuk peminjam
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN