PETALING JAYA: Pembangunan 121 Residences oleh Glomac Berhad (Glomac) di Bandar Utama telah mencapai 95 peratus kadar pengambilan.
Ketua Pegawai Operasi (Operasi) Glomac, Zulkifly Garib berkata, setakat ini kemajuan pembangunan projek telah mencecah 60 peratus dan pihaknya yakin ia akan dapat diselesaikan pada suku pertama tahun depan.
“Glomac telah membuat keputusan yang betul dengan menawarkan pembangunan ini dengan harga mampu milik kerana sambutannya menggalakkan.
“Kami sasar kadar pengambilan sebanyak 100 peratus akan disumbangkan oleh pembeli rumah pertama berusia 24 hingga 30 tahun.
“Kami percaya, kadar pengambilan 100 peratus itu dapat dicapai sebelum pembinaan itu selesai,” katanya selepas majlis ‘Topping Out’ di sini, semalam.
Di majlis itu, Glomac meraikan kejayaan 121 Residences yang telah mencapai puncak pembinaannya iaitu sebanyak 34 tingkat.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, selain mampu dimiliki, pembangunan itu juga berhampiran dengan MRT di mana penduduk boleh berjalan kaki sahaja untuk menggunakan pengangkutan awam tersebut.
“Bagi memudahkan lagi urusan penduduk, kami merancang untuk memanjangkan jalan berbumbung dari MRT itu kepada 121 Residences,” katanya.
Dibina di atas plot pegangan pajak seluas 3.1 ekar, pembangunan dua menara itu menawarkan 834 unit SoHo (binaan seluas 450 kaki persegi) dan pangsapuri servis (binaan seluas 750 kaki persegi), berharga daripada RM333,000.
Dilancarkan pada Ogos 2019, pembangunan itu membawa nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM327 juta.
Projek 121 Residences turut menawarkan akses mudah melalui lebuhraya LDP, NKVE, dan SPRINT atau melalui pengangkutan awam yang berhampiran dengan MRT Bandar Utama dan laluan LRT3 akan datang.
Melangkah ke hadapan Zulkifly berkata, Glomac melihat untuk menambah lebih banyak perumahan atas tanah dan perumahan bertingkat tinggi yang mampu milik di dalam pasaran.
“Kami mempunya beberapa rumah bertingkat tinggi di Puchong yang mungkin akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan.
“Kami turut mempunyai beberapa rumah atas tanah terletak di Puchong dan Sepang di masa depan. Apabila masanya sudah tiba, kami akan mengumumkan pelancaran projek-projek tersebut,” katanya. – UTUSAN










