PETALING JAYA: Syarikat penerbangan China, Xiamen Airlines secara rasmi memulakan penerbangan sulungnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chongqing Jiangbei dan selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.
Tourism Malaysia dalam satu kenyataan berkata, peristiwa penting itu bakal meningkatkan trafik pelancong serta perjalanan antara China dan Malaysia.
“Ketibaan penerbangan itu disambut pasukan pengurusan Tourism Malaysia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di pintu masuk Terminal 1 KLIA.
“Penerbangan terus baharu ini akan terbang empat kali seminggu pada hari Isnin, Rabu, Jumaat, dan Ahad, membawa lebih banyak kemudahan kepada rakyat kedua-dua negara dalam merapatkan pertukaran dan pelaburan ekonomi dan budaya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, setakat ini terdapat 175 penerbangan mingguan dari China ke Malaysia dan berharap untuk mempunyai lebih banyak penerbangan terus pada masa akan datang.
“Kami sangat teruja dengan pelancaran laluan baharu ini oleh Xiamen Airlines untuk menampung peningkatan permintaan perjalanan dan meningkatkan kesalinghubungan ke Malaysia.
“Kita juga berhasrat untuk mempunyai lebih banyak penerbangan terus dan sewa ke Malaysia melalui kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan kerana kita menyasarkan 3.5 juta ketibaan pelancong dari China tahun ini,” katanya.
Dengan pelancaran penerbangan tanpa henti ke Chongqing, Xiamen Airlines mengendalikan 25 penerbangan ke China setiap minggu, termasuk Kuala Lumpur ke Xiamen dengan dua penerbangan harian dan Kuala Lumpur ke Fuzhou dengan satu penerbangan harian. – UTUSAN










