UOB Malaysia catat pendapatan operasi RM3.9 bilion

UOB Malaysia catat pendapatan operasi RM3.9 bilion, peningkatan 15.2 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB Malaysia mencatatkan pendapatan oeprasi sebanyak RM3.9 bilion pada 2022, peningkatan 15.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh pendapatan bukan faedah dan pendapatan faedah bersih yang lebih kukuh.

Bank itu berkata, pendapatan faedah bersih meningkat 11.3 peratus kepada RM2.7 bilion hasil daripada pengurusan penyata imbangan yang proaktif, ditambah dengan pergerakan kadar faedah yang menggalakkan sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, pendapatan bukan faedah Bank pula melonjak 28.3 peratus kepada RM1.1 bilion, berikutan usaha berterusan Bank untuk memanfaatkan keupayaan dan rangkaian serantaunya.

“UOB Malaysia melaporkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada biasa sebanyak RM2.3 bilion (peningkatan 69.7 peratus tahun ke tahun), sebahagian besarnya dikaitkan kepada kos sekali saja untuk mengambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup di negara ini.

“Pengambilalihan tersebut adalah sebahagian daripada langkah strategik UOB untuk mengukuhkan kedudukannya di Malaysia. Pada masa yang sama, Bank terus melabur dalam infrastruktur teknologi bagi menyokong pertumbuhan perniagaan di masa hadapan. Berikutan ini, Bank melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.3 bilion, atau 12.9 peratus lebih rendah daripada tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.

UOB berkata, sersama francais runcit daripada perniagaan perbankan pengguna Citi, pinjaman kasar, pendahuluan, dan pembiayaannya, serta portfolio deposit bukan bank, meningkat dengan ketara kepada RM105.7 bilion (2021: RM90.0 bilion) dan RM110.9 bilion (2021: RM97.1 bilion) masing-masing.

Jelasnya, kualiti aset Bank kekal teguh, dengan pemulihan ekonomi yang kukuh selepas pandemik, jumlah peruntukan untuk jangkaan kerugian kredit menurun 70.9 peratus atau RM340.7 juta.

“Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh hapus kira jangkaan kerugian kredit bagi aset tidak terjejas, serta komitmen dan luar jangka, ditambah dengan jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah bagi aset terjejas,” jelasnya.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, 2022 merupakan tahun yang amat penting bagi UOB Malaysia.

Katanya, pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citi telah selesai pada November, sekaligus mengukuhkan francais runcit Bank dengan portfolio, saluran perkhidmatan dan rangkaian rakan kongsi yang lebih luas.

“Berpandukan strategi pertumbuhan tiga tahun, kami juga terus mengubah dan meningkatkan infrastruktur, keupayaan digital, rangkaian, tenaga insan dan jenama kami.

“Selama lebih 70 tahun, UOB telah berkembang seiring dengan Malaysia dan kami sentiasa yakin akan potensi pertumbuhan jangka panjang negara. Ini dapat dilihat melalui pelaburan berterusan kami termasuk ibu pejabat baharu yang canggih dan hijau, UOB Plaza 1 KL,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×