PETALING JAYA: RHB Bank Berhad mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 30.8 peratus tahun ke tahun kepada RM761.7 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.
RHB Bank dalam kenyataannya berkata, pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh pendapatan berasaskan bukan dana yang lebih tinggi dan jangkaan kerugian kredit (ECL) lebih rendah.
Katanya, pendapatan berasaskan bukan dana meningkat sebanyak 39.7 peratus kepada RM534 juta, terutamanya daripada keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi pertukaran mata wang asing dan derivatif, serta pendapatan dagangan dan pelaburan bersih yang lebih tinggi.
Perbelanjaan mengurus meningkat 3.1 peratus kepada RM856.5 juta terutamanya daripada kos penubuhan, pemasaran dan pentadbiran dan am yang lebih tinggi.
Nisbah kos kepada pendapatan meningkat sedikit kepada 44.9 peratus berbanding 44.8 peratus setahun lalu.
“ECL berkurangan sebanyak 70.1 peratus kepada RM46 juta daripada ECL pinjaman dan penghapusan balik bersih yang lebih rendah untuk ECL pada sekuriti.
“Sejajar dengan itu, nisbah caj kredit tahunan meningkat kepada 0.10 peratus berbanding 0.29 peratus bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
RHB Bank berkata, jumlah aset kumpulan meningkat 0.5 peratus dari Disember 2022 kepada RM312.4 bilion pada 31 Mac 2023 dan aset bersih sesaham ialah RM7.04, dengan ekuiti pemegang saham pada RM29.9 bilion pada akhir Mac 2023.
“Kedudukan modal kami kekal kukuh dengan nisbah ekuiti biasa Tahap 1 (CET-1) dan nisbah jumlah modal kumpulan masing-masing pada 16.9 peratus dan 19.7 peratus.
“Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat enam peratus tahun ke tahun kepada RM213.4 bilion, terutamanya disokong oleh pertumbuhan gadai janji, pembiayaan automotif, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan Singapura. Pinjaman dan pembiayaan domestik meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun,” ujarnya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Rashid Mohamad berkata, Kumpulan kekal fokus untuk mengukuhkan kunci kira-kira dan akan terus mengekalkan kedudukan modal serta mudah tunai yang kukuh.
“Pendirian pengurusan berhemat kami telah meletakkan kami dalam kedudukan yang baik, seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan Penilaian Kredit Baseline kepada baa1 oleh Moody’s Investors Service pada Mac 2023.
“Dari sudut kemampanan, kami telah mencapai lebih RM3 bilion dalam Perkhidmatan Kewangan Mampan untuk suku pertama berakhir 31 Mac 2023.
“Kami berada di landasan yang betul dalam mencapai aspirasi 2026 di bawah Strategi dan Pelan Hala Tuju Kelestarian kami, dengan pencapaian terkumpul lebih daripada RM14 bilion dalam Perkhidmatan Kewangan Mampan, bersamaan dengan 73 peratus daripada sasaran 2026 kami sebanyak RM20 bilion,” jelasnya. – UTUSAN










