PETALING JAYA: Keuntungan bersih Malayan Flour Mills Berhad (MFM) bagi suku pertama tahun 2023 (S1 2023) merosot 48.8 peratus kepada RM10.4 juta berbanding RM20.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
MFM dalam satu kenyataan berkata, bagaimanapun kumpulan itu merekodkan peningkatan hasil kumpulan sebanyak 30.2 peratus kepada RM826.7 juta bagi S1 2023.
Menurut pengeluar makanan ruji itu, sebahagian besar peningkatan tersebut didorong oleh jumlah jualan lebih tinggi dan harga jualan dalam segmen dagangan tepung dan bijian (FGT).
“Di sebalik kenaikan harga jualan, margin keuntungan S1 2023 bagi segmen FGT terjejas teruk disebabkan operasi di Malaysia dan Vietnam menghadapi cabaran peningkatan kos bahan mentah dan Dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh.
“Kumpulan PT Bungasari Flour Mills di Indonesia juga terjejas lebih teruk akibat kenaikan harga komoditi, di samping perbelanjaan faedah yang lebih tinggi dengan sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan mata wang asing yang lebih tinggi.
“Ia mengakibatkan kerugian RM8.6 juta kepada Kumpulan pada S1 2023 berbanding keuntungan RM0.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Eksekutif MFM, Teh Wee Chye berkata, meskipun segmen FGT MFM berhadapan dengan faktor yang mempengaruhi operasi pengilangan tepung serantaunya, segmen integrasi ternakan (PI sebaliknya menunjukkan aliran menaik yang positif dalam keuntungan.
Katanya, di tengah-tengah persekitaran yang mencabar bagi perniagaan FGT, MFM kekal fokus untuk memastikan kecekapan kos dalam operasi pengilangan tepungnya melalui proses pengekstrakan dan pengadunan tepung yang lebih baik.
“Pada masa yang sama, kami akan memastikan bekalan bahan mentah kami tidak terganggu dengan mempelbagaikan sumber, serta menetapkan harga produk akhir kami untuk memenuhi keperluan pasaran.
“Kami yakin dengan prospek segmen PI, kerana bahagian ini menambah baik petunjuk operasinya, daripada operasi huluan dan kilang pemprosesan utama kepada saluran jualan untuk produk ayam kami,” katanya. – UTUSAN










