Untung bersih Bank Islam RM118.1 juta, meningkat 11.5 peratus

Untung bersih Bank Islam RM118.1 juta, meningkat 11.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM118.1 juta bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2023 (S1 2023), peningkatan 11.5 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Bank Islam berkata, hasil bagi suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 42.6 peratus kepada RM1,103.9 juta berbanding RM774.0 juta sebelumnya.

Pengukuhan pendapatan bersih Kumpulan disumbangkan oleh peningkatan pendapatan bukan berasaskan dana yang mengukuh RM60.0 juta atau 132.4 peratus dipacu pendapatan pelaburan serta laba bersih lebih tinggi daripada transaksi pertukaran asing.

“Prestasi lebih baik ini di­terjemah kepada perolehan sesaham bernilai 5.33 sen dan pulangan ekuiti bersih tahunan sebanyak 7.0 peratus,” katanya.

Bank Islam berkata, pembiayaan kasar naik 10.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM66.2 bilion, sementara akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM77.8 bilion dengan kenaikan y-o-y seba­nyak RM9.7 bilion atau 14.3 peratus.

Sebahagian besar daripada kenaikan disumbangkan oleh pertumbuhan y-o-y lebih baik sebanyak 25.9 peratus atau RM6.8 bilion dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan (CASATIA) untuk berada pada RM33.0 bilion.

“Komposisi ini menjadikan aras sihat sebanyak 42.5 peratus jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan. Nisbah Modal Kumpulan kekal teguh pada 21.2 peratus,” katanya.

Setakat 31 Mac 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar Bank Islam adalah 1.37 peratus dan angka itu lebih baik berbanding purata industri sebanyak 1.75 peratus.

MOHD. MUAZZAM MOHAMED

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, setakat akhir Mac 2023, jumlah aset Bank Islam berada pada RM92.1 bilion dengan pertumbuhan y-o-y sebanyak 14.4 peratus, dipacu pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.

“Kedudukan modal dan kecairan yang sihat juga mencerminkan bahawa momentum pertumbuhan dan asas kami kekal teguh,” tambah beliau.

Mengenai tinjauan ekonomi, Bank Islam berkata, secara ke­seluruhannya, ekonomi Malaysia berada pada permulaan yang kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6 peratus pada S1 2023 seperti dimaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Buletin Sukuan bagi Suku Pertama 2023 yang diterbitkan pada 12 Mei 2023.

Peningkatan ini lebih baik berbanding negara-negara jiran serantau seperti Indonesia, China, Vietnam dan Singapura, seterusnya menggambarkan bahawa sasaran prestasi negara di antara 4.0 dan 5.0 peratus bagi 2023 adalah munasabah.

“Pertumbuhan ekonomi tersebut disokong oleh per­belanjaan domestik yang berdaya tahan, perbelanjaan swasta yang teguh dan pengu­kuhan persekitaran pasaran buruh. Keadaan ini memberikan petanda baik bagi prospek Kumpulan yang sebahagian besar perniagaannya adalah dalam segmen perbankan runcit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini