KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) kepada 3.00 peratus oleh Bank Negara Malaysia minggu lalu hanya akan memberi impak yang minimum dalam jualan hartanahnya.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, ini kerana, peningkatan OPR kepada paras sebelum pandemik Covid-19 sudah pun dijangkakan.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menjangkakan kenaikkan itu berlaku lebih awal.
“Sudah semestinya kami mengambil pendekatan berhati-hati dari segi sasaran jualan kami. Seperti yang saya pernah beritahu sebelum ini, fokus kami pada tahun ini adalah untuk membangunkan dan melancarkan projek untuk pendapatan pertengahan.
“Kecuali pembangunan The Minh yang merupakan produk dalam spektrum mewah, sebahagian besar produk kami yang lain adalah spektrum pertengahan
“Ini bagi membolehkan pembeli dalam golongan pertengahan itu dapat memperoleh pinjaman yang mereka perlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton media dan pengumuman jualan pembangunan The Minh di UEM Sunrise Showcase di Bukit Kiara di sini hari ini.
Sementara itu, Sufian berkata, pihaknya menyasarkan pelancaran 23 projek pada tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.5 bilion.
Menurutnya, sebanyak 60 hingga 70 peratus daripada projek yang dilancarkan adalah melibatkan harga peringkat pertengahan dan syarikat menyasarkan jualan sebanyak RM1.5 bilion pada tahun ini.
“Harga hartanah peringkat pertengahan adalah bergantung pada kawasan pembangunan tersebut. Kalau di Johor adalah sekitar RM600,000, manakala di Lembah Klang antara RM600,000 hingga RM800,000.
“Buat masa ini, kami mempunyai bank tanah kira-kira 809 hektar di Johor dan 242 hektar di Lembah Klang. Kami sentiasa menerokai peluang untuk menambah lagi bank tanah terutamanya di Lembah Klang kerana kami masih lagi memperluaskan profolio di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran UM Sunrise, Kenny Wong berkata, The Minh yang dibangunkan dengan GDV sebanyak RM970 juta akan dijual secara rasmi kepada orang ramai pada 27 Mei ini.
Jelasnya, pembangunan dengan reka bentuk berinspirasikan ‘Indochine’ telah mendapat sambutan menggalakkan setelah menara pertamanya, Menara B merekodkan kadar tempahan sebanyak 70 peratus semasa pratonton bersama rakan kerjasama syarikat serta ahli kesetiaan premium UEM Sunrise, Trésorians.
Tambahnya, kediaman mewah ini terdiri daripada 496 unit dengan dua menara yang mana setiap satu mempunyai 42 tingkat dengan hanya enam unit di setiap tingkat.
THE Minh menampilkan empat jenis susun atur bilik, A, B, C dan D, berkeluasan antara 149 meter persegi (1,607 kaki persegi) hingga 279 meter persegi (3,010 kaki persegi). – UTUSAN










