PETALING JAYA: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) merekodkan pendapatan lebih kukuh pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (S1 TK2023) berjumlah RM256.7 juta, peningkatan 15.0 peratus daripada RM223.3 juta tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Pada tempoh berkenaan, Tropicana mancatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM0.8 juta, peningkatan sebanyak 102.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu terutamanya disebabkan oleh peningkatan pelaburan hartanah Kumpulan, rekreasi dan operasi resort susulan pembukaan semula sempadan berkuat kuasa 1 April 2022 serta langkah rasionalisasi kos untuk mengurangkan perbelanjaan keseluruhan, sambil mematuhi pengurusan risiko yang berhemat.
“Kempen jualan berterusan serta prestasi yang bertambah baik daripada pelaburan hartanah Kumpulan, rekreasi dan operasi resort membantu merangsang pertumbuhan Kumpulan.
“Kami akan terus melancarkan kempen pemasaran dan jualan yang berkesan untuk memacu pertumbuhan. Digital dan penglibatan dalam talian menjadi sebahagian besar daripada strategi pemasaran kami,” kata pemaju hartanah itu dalam kenyataan.
Tropicana berkata, Kumpulan mempunyai jualan belum dibilkan sebanyak RM2 bilion dan dalam perancangan untuk terus membuka `kunci’ simpanan tanah yang menawarkan empat pembangunan baharu dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.1 bilion yang akan menyumbang kepada pendapatan masa hadapan Kumpulan.
Dalam pada itu, hasil Kumpulan sebanyak RM256.7 juta pada suku semasa adalah RM1.4 juta atau 0.5 peratus lebih rendah daripada suku sebelumnya yang berakhir pada 31 Disember 2022 (S4 TK2022).
“Hasil yang lebih rendah pada suku semasa disebabkan terutamanya oleh pengebilan kemajuan yang lebih rendah merentas beberapa projek utama Kumpulan yang sedang dijalankan,” jelasnya.
Kumpulan kekal optimistik dan percaya masih terdapat permintaan untuk hartanah dan merancang untuk melancarkan pembangunan di lokasi strategik seperti Tropicana Metropark @ Subang Jaya; Tropicana Aman @ Kota Kemuning; Tropicana Alam @ Puncak Alam dan Tropicana Paradise Villa Lots, Tropicana WindCity, Genting Highlands @ Pahang.
Secara keseluruhan, jumlah simpanan tanah Kumpulan berjumlah 2,091 ekar, dengan jumlah potensi GDV kira-kira RM203.7 bilion. Ia meletakkan Kumpulan dalam kedudukan yang baik untuk membuka `kunci’ nilai bank tanah strategiknya dan
memberikan prestasi yang mampan dalam beberapa tahun akan datang. – UTUSAN









