PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyarankan pengguna kediaman untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh peningkatan titik panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini.
Syarikat utiliti tersebut dalam kenyataannya berkata, penggunaan elektrik mungkin meningkat akibat cuaca yang agak panas selain pengguna sedang berada dalam musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) di beberapa kawasan dengan cuaca berkenaan boleh mencecah di antara 35 hingga 37 darjah celsius.
“Antara amalan penjimatan elektrik yang mudah dilakukan termasuk matikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong serta matikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai menggunakannya.
“Ketika cuaca panas terik, tutupkan tingkap dengan langsir yang tebal supaya haba tidak masuk. Tidak meninggalkan barangan elektrik di dalam mod sedia serta gunakan lampu mentol LED yang tahan lebih lama serta lebih jimat tenaga;
“Gosok pakaian dalam jumlah yang banyak pada suatu masa dan pilih alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya dalam di sini semalam.
TNB berkata, amalam penjimatan elektrik bagi bilik tidur pula adalah dengan menghidupkan kipas pada waktu malam bagi membantu pengedaran udara di dalam bilik.
“Tetapkan masa untuk pendingin hawa dimatikan bagi menjimatkan penggunaan elektrik dan kerap menyenggara pendingin hawa membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum. Bersihkan penapis agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar,” ujarnya.
Untuk memantau penggunaan elektrik secara langsung, pengguna juga digalakkan untuk memanfaatkan perkhidmatan meter pintar sekiranya sudah siap dipasang, sama ada dengan myTNB portal (www.mytnb.com.my) atau aplikasi myTNB.
Tambahnya, layari www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak. – UTUSAN