PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mengumumkan Keuntungan Selepas Cukai dan Faedah Minoriti (PATAMI) sebanyak RM11.5 juta bagi keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2023, lebih rendah berbanding RM21.6 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Menurut kenyataannya, Kumpulan merekodkan hasil sebanyak RM146.4 juta pada suku pertama tahun ini, penurunan sebanyak 26.1 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Katanya, pendapatan yang lebih rendah ini disebabkan terutamanya oleh purata harga realisasi minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih rendah.
“Dari segi positif, pengeluaran dan pemprosesan buah tandan segar (BTS) kumpulan untuk tempoh tersebut masing-masing meningkat sebanyak 8.7 peratus dan 16.0 peratus.
“Keluaran MSM Kumpulan dan volum jualan meningkat sebanyak 12.9 peratus dan 15.4 peratus serentak berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“Begitu juga, keluaran PK dan volum jualan masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 19.2 peratus dan 20.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lepas,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif THP, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, perkembangan tersebut menunjukkan THP terus mencapai kemajuan yang memuaskan walaupun dalam persekitaran operasi mencabar yang berterusan.
“Di peringkat operasi, tumpuan kami adalah untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan termasuk menjamin tanaman dan mekanisasi serta meneruskan program penanaman semula.
“Kumpulan menjangkakan harga minyak sawit kekal tidak menentu pada suku kedua nanti. Memandangkan sentimen bekalan minyak makan yang mencukupi, ramalan ekonomi yang lebih lemah di seluruh dunia dan tekanan inflasi daripada harga makanan dan tenaga yang tinggi yang dijangka menjejaskan permintaan,” ujarnya.
Beliau berkata, Kumpulan sedang memantau kesan El Nino dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Namun begitu, Kumpulan menjangkakan prestasi kewangan yang memuaskan bagi tahun kewangan 2023. – UTUSAN










