Terengganu bakal jadi pengeluar baja utama

Terengganu bakal jadi pengeluar baja utama

TENGKU Farok Hussin Tengku Abdul Jalil (belakang, tengah) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara ECFSB dan EPIC di Kemaman, Terengganu, semalam. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Terengganu bakal menjadi pengeluar baja utama di Pantai Timur dengan pembinaan kilang pengeluaran dan pembekalan baja berteknologi tinggi pertama di negeri ini, di kawasan Perindustrian Teluk Kalong, dekat sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, projek pembinaan kilang East Coast Fertilizer Sdn. Bhd. (ECFSB) yang bernilai RM40 juta itu dibangunkan di kawasan berkeluasan lebih dua hektar di sini.

Beliau berkata, pembinaan kilang yang dianggarkan berkeluasan lebih 50,000 kaki persegi itu dijangka mampu mengeluarkan baja 50,000 tan metrik hingga mencapai kapasiti maksimum sebanyak 100,000 tan metrik setahun.

Katanya, pembinaan kilang itu akan bermula awal tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

“Kita percaya projek ini akan memberi peluang untuk mening­katkan keupayaan kita dalam mengaplikasikan pertanian lebih bijak dan menyediakan baja le­bih sesuai dengan kea­daan tanah di Terengganu dan Pantai Timur.

“Penyediaan baja yang berkua­liti dengan komposisi seimbang ini sekaligus dapat membantu petani dan peladang meningkatkan hasil pertanian dan mening­katkan pendapatan serta taraf hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­rasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Kilang Baja ECFSB dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECFSB dan Eastern Pasific Industrial Corporation (EPIC) Berhad di sini, semalam.

MoU mengenai pajakan ta­nah milik EPIC untuk pembinaan kilang baja pertama itu ditandatangani Pengarah ECFSB, Muhammad Ramizu Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali.

Tengku Farok berkata, projek pembinaan kilang itu akan turut menyediakan lebih 250 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung kepada anak tempatan.

Sementara itu, Ridzuan berkata, lokasi pembinaan kilang yang hanya kira-kira dua kilometer dari Pelabuhan Kemaman itu sangat strategik dan akan memberi kelebihan kepada ECFSB bagi urusan logistik serta pengedaran kepada pengguna kelak.

“EPIC juga komited bagi memberikan khidmat pengendalian kargo di Pelabuhan Kemaman, serta khidmat logistik yang lain mengikut keperluan ECFSB,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×