IPOH: Sebuah syarikat memproses mineral dari China, Jinjing Silicon Technology Sdn. Bhd. akan memulakan operasi pelaburan bernilai RM100 juta dengan pembinaan kilang baharu di Silver Valley Technology Park (SVTP), Kanthan, Chemor di sini pada 2024.
Pembinaan kilang pemprosesan Zero Waste Facility dengan kos pembinaan bernilai RM40 juta itu merupakan kilang pemprosesan pertama di rantau ini dibina menggunakan model Built-To-Suit and Lease (BTSL) di atas tapak seluas 4.75 hektar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembukaan kilang tersebut merupakan permulaan bagi inisiatif pembangunan di SVTP yang akan memacu pertumbuhan ekonomi negeri Perak.
Menurutnya, kilang itu akan memproses mineral secara komprehensif, merangkumi proses pertengahan dan hiliran.
“Pelaburan daripada pihak Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd yang bernilai RM100 juta ke dalam industri mineral ini bakal membentuk momentum baharu untuk membangunkan aktiviti pertengahan dan hiliran serta merevolusikan nilai rantaian secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kilang Pemprosesan Mineral Secara Built To Suit and Lease oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dengan Usahasama Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd di Persiaran Perindustrian Kanthan 1, Kanthan, Chemor di sini semalam.
Hadir sama, Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zaki Mahyuddin; Ketua Pegawai Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan wakil syarikat Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd, Cui Wen Chuan.
Saarani berkata, kilang itu dijangka menghasilkan pengeluaran sebanyak 1 juta tan pasir silika putih setahun, 100,000 tan pasir kuartza berketulenan tinggi serta penghasilan bahan silikon untuk digunakan bagi industri tenaga boleh baharu.
Katanya, kilang tersebut dijangka memulakan operasi pada suku tahun ketiga 2024 dan dijangka menawarkan kira-kira 500 peluang pekerjaan baharu buat rakyat di negeri ini.
“Pelaburan syarikat ini membabitkan penghasilan kaca berkualiti tinggi yang digunakan dalam teknologi sistem tenaga solar.
“Bahan mineral yang diambil dari kawasan yang ditetapkan akan dibawa terus ke kilang berkenaan untuk diproses menjadi produk,” katanya. – UTUSAN










