SME Bank terbit Sukuk Kelestarian bernilai RM1 bilion

SME Bank terbit Sukuk Kelestarian bernilai RM1 bilion

ARIA PUTERA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank Berhad menerbitkan Sukuk Kelestarian lima tahun baharu, menerusi proses penetapan harga (book building) dengan jumlah permintaan melebihi RM1 bi­lion, melepasi saiz awal sebanyak RM500 juta.

Presiden Kumpulan dan Ke­tua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Dr. Aria Putera Ismail berkata, pihak­nya memilih untuk meningkatkan jumlah terbitan kepada RM1 bilion disebabkan permintaan yang menggalakkan.

Katanya, ia termasuk daripada institusi kewangan tempatan dan asing, syarikat pe­ngurusan dana, firma takaful dan insu­rans dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

“Pencapaian ini menunjukkan keyakinan tinggi pelabur dan komuniti kewangan terhadap keupayaan SME Bank untuk memacu pertumbuhan perusahan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya dalam memastikan mereka dapat terus bertahan.

“Sukuk Kelestarian SME Bank berjaya ditetapkan pada kadar keuntungan yang sangat kompetitif iaitu sebanyak 4.05 peratus, di tengah-tengah persekitaran pasaran yang mencabar,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, program Sukuk Wakalah SME Bank telah diberikan penarafan AAA oleh Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC) dan mencapai standard Emas, penarafan tertinggi Rangka Kerja Sukuk Kelestarian oleh MARC.

Penarafan ini meningkatkan lagi kebolehpercayaan kredit SME Bank yang kukuh dan komitmen teguh terhadap amalan kelestarian.

Hasil daripada terbitan sukuk ini akan digunakan secara eksklusif untuk membiayai projek yang sejajar dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Tumpuan strategik pada projek ESG ini bukan sahaja menyu­mbang kepada pemba­ngunan yang mampan tetapi juga membolehkan SME Bank untuk menawarkan penyelesai­an pembiayaan inovatif yang bersesuaian dengan keperluan unik perusahaan kecil dan sederhana.

Terbitan sukuk ini telah diterajui oleh institusi kewangan seperti RHB Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad, dan Maybank Investment Bank Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×