SDP sasar jualan RM2.3 bilion untuk tahun kewangan 2023

SDP sasar jualan RM2.3 bilion untuk tahun kewangan 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (SDP) menjangkakan prospek positif bagi pasaran hartanah sepanjang tahun ini dengan menetapkan sasaran jualan sebanyak RM2.3 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pihaknya percaya SDP mempunyai perbandaran yang tepat dengan lokasi yang baik yang ditawarkan kepada pengguna untuk mencapai sasaran jualan tersebut.

“Lokasi dan kemudahan di dalam perbandaran adalah faktor yang penting untuk meningkatkan jumlah jualan kami.

“Kami mahu pengguna boleh menikmati kemudahan yang ditawarkan di dalam kawasan perumahan pilihan tanpa perlu melakukan perjalanan yang jauh.

“Selain itu, kami mahu pengguna tahu yang mereka membeli rumah daripada pemaju yang berkualiti berdasarkan produk yang kami sampaikan. Itu sekali gus akan membantu kami mencapai sasaran jualan tersebut.

“Paling penting, kami percaya kami tahu apa yang pengguna mahukan dan kami yakin boleh menawarkan perumahan mengikut keperluan pengguna.

“Namun, kini, seperti pemaju hartanah yang lain, kami berdepan dengan cabaran kenaikan harga barangan yang memberi banyak tekanan kepada kami untuk stabilkan margin.

“Bagaimanapun, kami percaya fokus kami kepada keperluan pengguna akan membantu kami mencapai sasaran jualan sebanyak RM2.3 bilion bagi tahun kewangan 2023,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan secara maya, hari ini.

SDP telah telah mencatatkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak 17 peratus kepada RM60.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 berbanding RM51.8 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan hasilnya turut melonjak kepada RM685.33 juta berbanding RM480.33 juta sebelum ini.

SDP turut mencatatkan jualan berjumlah RM688.5 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023.

Pemaju hartanah itu berkata, segmen pembangunan hartanahnya meraih keuntungan sebanyak RM87.31 juta, dipacu oleh jualan kukuh produk perindustrian dan perumahan selain peningkatan pembangunan setempat di kawasan perbandaran seperti Bandar Bukit Raja, City of Elmina, Nilai Impian, Elmina Business Park dan Hamilton Nilai City.

Bagaimanapun, keuntungan segmen dalam tempoh tersebut dijejaskan oleh kerugian bahagian dalam usaha sama sebanyak RM16.12 juta berbanding RM1.38 juta tahun lepas, terutamanya susulan peningkatan kerugian daripada projek Battersea Power Station akibat kenaikan kos operasi dan jualan.

Selain itu, hasil segmen pelaburan dan pengurusan aset pula mencatat pertumbuhan 3.9 peratus kepada RM26.24 juta, didorong oleh subsegmen runcit.

Pertumbuhan hasil subsegmen runcit pula disokong oleh pertambahan kadar penghunian daripada 79 peratus kepada 85 peratus serta peningkatan di KL East Mall.

Menurut SDP, perolehan hasil segmen riadah menokok sebanyak 15.5 peratus kepada RM22.34 juta pada suku pertama tersebut.

Pada masa sama, segmen berkenaan turut pulih daripada kerugian sebanyak RM0.8 juta kepada keuntungan sebanyak RM1.70 juta susulan peningkatan sumbangan hasil daripada aktiviti acara, makanan dan minuman serta kegiatan golf.

Mengulas prospek untuk tempoh berbaki tahun ini, Azmir Merican berkata, Kumpulan menjangkakan pasaran hartanah akan kekal stabil dengan terdapatnya petunjuk permintaan lebih sihat bagi produk kediaman bertanah dan perindustrian.

Jelasnya, ia juga dibantu dengan faktor pemulihan pasaran pekerja asing yang membolehkan Kumpulan mengekalkan momentum kukuhnya sepanjang tahun kewangan 2023.

“Kami amat optimis mengenai 2023, khususnya dengan rancangan pelancaran membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion yang merangkumi kediaman bertingkat dan hartanah bertanah selain hartanah perindustrian.

“Kumpulan juga dalam proses menyerahkan lebih daripada 4,000 unit kosong pada 2023 susulan prestasi memberangsangkan yang dicatatkan sejak beberapa tahun lepas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN