PETALING JAYA: Saudi Aramco kini syarikat kedua terbesar dunia dari segi nilai, mengatasi Microsoft dan di belakang Apple, menurut Middle East Monitor (MEM).
MEM berkata, syarikat itu bernilai AS$2.11 trilion (RM9.42 trilion).
Memetik laman web Al-Arabiya.net minggu lalu, MEM berkata, saham syarikat itu meningkat kepada AS$9.60 pada Rabu.
Kenaikan itu susulan pengumuman Putera Mahkota Mohammed Salman awal bulan ini mengenai pemindahan 4 peratus saham Aramco kepada Sanabil Investments, yang dimiliki sepenuhnya oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi.
Pada 2022, Aramco mencapai keuntungan tertinggi sejak disenaraikan, meningkat sebanyak 46.5 peatus kepada 604 bilion riyal (AS$161 bilion /RM719.305 bilion), berbanding 412.4 bilion riyal (AS$109 bilion /RM486.983 bilion) pada 2021, lapor MEM, dipetik oleh The Edge.
Aramco adalah syarikat yang paling menguntungkan di dunia, katanya.
“Keuntungan Aramco untuk tahun 2022 melebihi keuntungan gabungan Apple, Microsoft dan ExxonMobil, menurut kedudukan di laman web Cap Pasaran Syarikat,” lapor MEM lagi.
Dalam laporan baru-baru ini, Fitch Ratings meningkatkan penarafan Saudi Aramco kepada A+, dengan tinjauan `stabil.’
Memetik laporan di wikipedia, setakat 2021, Saudi Aramco mempunyai aset berjumlah AS$331.818 bilion (RM1.48 trilion). – UTUSAN










