Ringgit boleh capai RM5 – RHB Research

Ringgit boleh capai RM5 – RHB Research

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Research tidak menolak kemungkinan ringgit boleh mencecah RM5 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sederhana.

Dalam laporannya, RHB Research berkata, unjuran tersebut dibuat berikutan sasaran awal jangka pendek ringgit pada 4.60 telah dilepasi semalam, membawa kepada sasaran jangka terdekat yang disemak semula sebanyak 4.70, dengan potensi mencecah paras RM4.75.

Katanya, imbangan risiko bagi unjuran akhir suku kedua pada 4.55 hingga 4.65 kini condong ke arah julat lebih tinggi pada 4.65 hingga 4.75.

“Dalam jangka sederhana, kami tidak akan menolak pertukaran dolar AS dan ringgit mencapai 5.0.

“Sasaran dolar Singapura berbanding ringgit jangka terdekat kami sebanyak 3.40 juga telah dilepasi dan kami meningkatkan sasaran kepada 3.45 – 3.50,” katanya dalam laporan semalam.

Firma penyelidikan itu berkata, terdapat beberapa faktor menyumbang kepada momentum menaik tanpa henti antara dolar AS dan ringgit.

Menurutnya, pegangan negatif dijangka meningkat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) berada di belakang pasaran mata wang dan keluk inflasi.

“Selain itu, jangkaan pasaran mengenai kenaikan Kadar Dana Persekutuan (FFR) Rizab Persekutuan AS (Fed) terus meningkat, dengan potensi kenaikan 25 mata asas pada mesyuarat FOMC 15 Jun akan datang, seterusnya memberi kesan kepada mata wang.

“Tambahan pula, sentimen domestik yang semakin berkurangan terhadap ringgit dapat dilihat melalui volum dagangan yang rendah dalam pasaran saham domestik dan pasaran modal yang lari ke platform aset alternatif,” ujarnya.

Selain itu, firma tersebut berkata, pilihan raya negeri yang akan datang mungkin mengakibatkan pengumuman pembaharuan fiskal dan struktur yang terhad, yang menimbulkan cabaran selanjutnya bagi mata wang negara.

RHB Research berkata, me­lainkan perubahan ketara dalam panduan daripada BNM dan pembaharuan fiskal yang besar diumumkan pada bulan-bulan akan datang, kadar pertukaran dolar AS-ringgit boleh mencapai 4.762 menjelang suku ketiga 2023.

Dalam sesi dagangan awal pagi semalam, ringgit terus berada di bawah tekanan berikutan hasil perbincangan siling hutang AS kekal tidak menentu menjelang tarikh akhir awal Jun ini.

Pada pembukaan dagangan pukul 9 pagi, mata wang tempatan jatuh ke paras terendah enam bulan pada 4.6280/6305 berban­ding dolar AS daripada penutupan Khamis 4.6245/6285.

Mata wang negara itu juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain. Ringgit bertambah baik berbanding dolar Singapura pada 3.4168/4191 daripada 3.4202/4237 semalam, dan me­ningkat berbanding baht Thailand pada 13.3306/3440 daripada 13.3602/3776.

Bagaimanapun, ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 309.4/309.8 daripada 309.2/309.6 dan tidak berubah berbanding peso pada 8.25/8.26.

Pada penutup pukul 5 petang semalam, ringgit bagaimanapun naik sedikit apabila ditutup pada 4.6075/6305 berbanding dolar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN