PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sebagai Pengerusi Kumpulan PNB berkuat kuasa 1 Jun 2023, menggantikan Tun Arifin Zakaria yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.
Menurut PNB, Raja Arshad adalah Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad, Icon Offshore Berhad dan Bumi Armada Berhad. Beliau merupakan bekas pengarah Maxis Berhad dan Khazanah Nasional Berhad.
Katanya, Raja Arshad juga adalah bekas Pengerusi Eksekutif PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Pengerusi Pasukan Kepimpinan PwC Asia 7.
“Semasa krisis kewangan Asia 1997, Raja Arshad dilantik sebagai Pengerusi Danamodal Nasional Berhad, salah satu daripada tiga syarikat bertujuan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menguruskan krisis.
“Beliau dilantik sebagai Pengerusi pertama Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia. Di peringkat antarabangsa, beliau pernah menganggotai Standards Advisory Council kepada International Accounting Standards Board dan ahli Lembaga Global
International Financial Reporting Standards (IFRS) PwC,” katanya dalam kenyataan.
Jelas PNB, Raja Arshad telah berkhidmat sebagai anggota Suruhanjaya Sekuriti (SC) semasa ia mula-mula ditubuhkan, selain pernah menganggotai Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia dan Panel Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Tambahnya, Raja Arshad terlibat secara aktif dengan beberapa institusi kebajikan, termasuk mempengerusikan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor dan Yayasan Amir.
“Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan DayaDiri. Raja Arshad ialah Felo Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW). Beliau juga merupakan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), berkhidmat dalam Majlisnya selama 24 tahun, tiga daripadanya sebagai Presiden,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, Lembaga Pengarah dan Warga PNB berbesar hati mengalu-alukan pelantikan Raja Arshad ke Lembaga Pengarah PNB, membawa bersama-sama pengalaman luas beliau dalam pengawasan syarikat dan institusi.
“Kami menantikan kepimpinan beliau seiring pelaksanaan pelan strategik PNB dan memenuhi mandat kami dalam meningkatkan kekayaan ekonomi masyarakat Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN










