KUALA LUMPUR: Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (Pusat 4IR), sebuah pusat bebas di bawah Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah dilancarkan untuk memacu peralihan tenaga hijau dan transformasi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, 4IR memainkan peranan penting dalam memacu kemajuan ekonomi digital di Malaysia, yang memberi tumpuan kepada menyokong transformasi digital negara dan kemajuan dalam sektor yang berkembang pesat, termasuk peralihan tenaga hijau.
Beliau berkata, WEF telah menubuhkan Pusat Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) sebagai platform bukan sahaja untuk menyokong pemimpin dalam merealisasikan trajektori teknologi yang sentiasa berkembang, malah turut menyokong usaha kerajaan bagi rangka kerja dasar baharu, model tadbir urus yang tangkas dan peraturan fleksibel untuk merangsang inovasi sambil menyediakan keselamatan sosial dan perlindungan yang mencukupi untuk rakyat.
“Dengan lebih 60 inisiatif, 300 pakar dasar dan kerajaan serta lebih 450 inovator dan perintis teknologi yang tersedia dalam ekosistem ini, perkongsian ini hadir tepat masanya ketika Malaysia sedang mengembangkan ekonomi digitalnya.
“Pelan Tindakan dan Dasar Ekonomi Digital Malaysia untuk Revolusi Perindustrian Keempat telah digubal menggunakan pendekatan berpaksikan manusia untuk memastikan kita dapat memanfaatkan teknologi sambil memelihara nilai manusia, sosial dan budaya untuk kelestarian masa hadapan.
“Ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang bertujuan mengeksploitasi peluang potensi yang dibentangkan oleh 4IR dan membuktikan pembangunan sosio ekonomi Malaysia pada masa hadapan untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang.
“Itu sejajar dengan komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG),” katanya dalam ucapan secara maya pada majlis pelancaran Pusat 4IR di sini, hari ini.
Pusat itu yang terletak di Putrajaya, telah dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Presiden Forum Ekonomi Dunia, Børge Brende.
Pusat 4IR adalah yang pertama di rantau ASEAN yang menghimpunkan pemimpin kerajaan dan perniagaan, ahli akademik dan pakar untuk mewujudkan hab inovasi dan kepakaran untuk membuka potensi teknologi berkenaan.
Dengan pelancaran itu, Malaysia menyertai komuniti 18 pusat lain, di mana pendekatan baharu dan inovatif terhadap pengurusan, penerimaan dan penskalaan teknologi sedang dibangun dan dilaksanakan di peringkat nasional, serantau, dan antarabangsa.
Pusat Global untuk Rangkaian 4IR Forum Ekonomi Dunia merupakan platform untuk kerjasama pelbagai pihak yang terlibat, menyatukan sektor awam dan swasta bagi memaksimumkan faedah teknologi kepada masyarakat sambil meminimumkan risiko yang berkaitan dengan teknologi 4IR. – UTUSAN











