Propel Global catat kenaikan hasil 12.3 peratus

Propel Global catat kenaikan hasil 12.3 peratus

ANGELINE LEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Propel Global Berhad melaporkan kenaikan hasil sebanyak 12.3 peratus kepada RM24.7 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 daripada RM22 juta tempoh sama tahun kewanan sebelumnya.

Walaupun keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi kedua-dua segmen minyak dan gas (O&G) dan perkhidmatan teknikal telah meningkat daripada suku sama tahun sebelumnya, kos pentadbiran korporat yang lebih tinggi memberi impak terhadap keuntungan Kumpulan.

Sehubungan itu, Kumpulan mencatatkan penurunan PBT sebanyak 28.1 peratus kepada RM0.9 juta bagi suku tahun dilaporkan daripada RM1.2 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2022.

“Dari segi segmen, operasi O&G Kumpulan melaporkan hasil sebanyak RM12.1 juta dan PBT sebanyak RM2.7 juta, manakala Perkhidmatan Teknikal menyumbang hasil sebanyak RM12.6 juta dan PBT sebanyak RM1.1 juta.

“Segmen lain Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.9 juta bagi suku yang ditinjau disebabkan perbelanjaan pentadbiran korporat, seperti caj profesional dan kos kakitangan daripada operasi berterusan,” maklum syarikat itu dalam kenyataan.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2023 (9B TK2023), Propel Global mencatatkan peningkatan perolehan sebanyak 14.3 peratus kepada RM67.4 juta daripada RM59.0 juta pada 9B TK2022.

PBT Kumpulan bagi tempoh berkenaan meningkat sebanyak 2.5 kali ganda kepada RM6.8 juta daripada RM2.0 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee berkata, Kumpulan sekali lagi melaporkan satu lagi suku keuntungan ketika Kumpulan terus memberi tumpuan kepada mengukuhkan prestasi kewangan dengan memanfaatkan kepakaran dan kekuatannya.

Kata belia, ia merupakan suku ketiga berturut-turut Kumpulan mencatatkan prestasi kewangan yang positif sejak disenaraikan dengan dua segmen perniagaan utama O&G dan perkhidmatan teknikal menyumbang secara positif.

“Kami ingin memberi jaminan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan lain bahawa pihak pengurusan sedang berusaha ke arah menaikkan status PN17 Kumpulan.

“Prestasi kewangan positif Kumpulan sehingga kini dijangka akan disokong oleh harga minyak mentah yang stabil dan permintaan yang memberi manfaat kepada perniagaan seperti kami yang terlibat dalam perkhidmatan O&G.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kakitangan yang telah menunjukkan semangat berpasukan yang baik, manakala pelanggan dan pembekal kami menunjukkan kepercayaan dan sokongan yang tinggi terhadap Kumpulan. Adalah diramalkan bahawa Kumpulan akan bergerak ke peringkat seterusnya sebaik sahaja status PN17 dinaikkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×