Princeton Digital labur RM2 bilion bangun pusat data di Malaysia

Princeton Digital labur RM2 bilion bangun pusat data di Malaysia

ONN Hafiz Ghazi pada majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah antara JLand Group dan Princeton Digital Group di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Princeton Digital Group (PDG) dan JLand Group (JLG), cabang hartanah dan infrastruktur Johor Corporation (JCorp), telah memasuki perjanjian muktamad bagi pembelian tanah seluas 31 ekar di Taman Teknologi Sedenak (STeP), Johor untuk pembangunan sebuah kampus hiperskala 150W.

Dengan pelaburan RM2 bilion (AS$450 juta), fasa pertama hiperskala berkapasiti 60MW dijadualkan akan siap untuk perkhidmatan menjelang suku kedua (S2) 2024.

Projek itu menandakan penceburan sulung PDG dalam pasaran Malaysia, sebagai negara keenam selepas Singapura, China, Indonesia, India dan Jepun.

Pusat data yang dinamakan JH 1 bakal menjadi antara kampus pusat data yang terbesar di Asia Tenggara bagi memenuhi keperluan infrastruktur pelanggan merentasi rantau ini.

Majlis menandatangani perjanjian itu di Kuala Lumpur, telah disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) yang juga Pengerusi JLG, Datuk Syed Mohamed berkata, pada masa ini, tumpuan JLG ialah untuk meluaskan peluang perniagaan dalam bidang pusat data sambil pelabur dan pengendali memanfaatkan prospek sektor itu yang semakin pantas berkembang.

Beliau berkata, menerusi tawaran bersepadu di Taman Teknologi Sedenak (STeP), syarikat tetap komited untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai titik tumpuan pusat data serantau memandangkan keupayaannya untuk memenuhi permintaan yang semakin bertambah.

“Penceburan PDG dalam Johor dan STeP adalah pengesahan kukuh strategi dan tawaran JLG.

“Dengan semakin banyak syarikat dan komuniti menumpukan usaha untuk memperkenalkan alat dan strategi digital generasi akan datang, permintaan bagi simpanan data yang boleh dipercayai, pintar dan berdaya tahan akan berkembang secara eksponen.

“Justeru, kita perlu berusaha meningkatkan prestasi kelestarian pusat data menerusi platform Internet Kebendaan Perindustrian (IIoT), pemantauan tenaga dan kuasa, dan teknologi pendinginan inovatif,” kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Princeton Digital Group, Rangu Salgame berkata, penceburan syarikat ke pasaran Malaysia akan meluaskan operasi PDG di Asia, yang dikukuhkan lagi dengan kehadirannya sebagai pemimpin infrastruktur digital seluruh Asia.

JLG juga mengumumkan taman pusat data seluas 640 ekar yang dinamakan STeP 2, yang dijangka siap menjelang September 2024. Sebagai sebahagian daripada pembangunan Ibrahim Technopolis (IBTEC) yang lebih besar, STeP 2 akan menerima bekalan tenaga daripada ladang fotovoltan solar, sejajar dengan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF).

Tambahan lagi, STeP 2 dijangka mendapat manfaat daripada persiapan IBTEC untuk mencapai status Pusat Siber Digital Malaysia (MD). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×