KUALA LUMPUR: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menyasarkan untuk mencapai Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) sehingga satu juta kilometer (km) menjelang suku ketiga tahun 2026 melalui pelbagai langkah penambahbaikan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Foke berkata, laporan MKBF adalah sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Prasarana dan ia merupakan penanda aras yang digunakan untuk mengukur perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel.
Menurut beliau, Prasarana perlu meningkatkan kualiti perkhidmatannya dengan ketara dan kementerian telah menetapkan suatu tahap yang tinggi kepada pengurusan untuk mencapai angka MKBF yang lebih selari dengan pengendali rel di rantau ini.
“Pada masa ini, pencapaian Prasarana masih belum sampai tahap standard dunia yang mana MKBF bagi LRT Laluan Kelana Jaya, sebagai contoh, adalah sejauh 150,000 kilometer.
“Sebagai komitmen syarikat untuk terus memperbaiki prestasi operasinya, saya telah dimaklumkan bahawa Prasarana telah menetapkan sasaran MKBF satu juta km perjalanan menjelang suku ketiga 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman MKBF sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Prasarana di sini, semalam yang turut dihadiri Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohd. Azharuddin Mat Sah.
Anthony Loke berkata, laporan terkini MKBF akan didedahkan kepada umum setiap bulan, manakala maklumat terkini mengenai penumpang, faktor muatan, kebolehpercayaan perkhidmatan, ketersediaan perkhidmatan dan kemudahan stesen perkhidmatan rel dan bas masing-masing di bawah Rapid Rail dan Rapid Bus, akan dikongsikan pada setiap minggu.
Katanya, inisiatif itu bertujuan meningkatkan ketelusan dan kebolehpercayaan perkhidmatan rel dan bas Prasarana, serta mengenal pasti ruang penambahbaikan dan melaksanakan langkah-langkah untuk menanganinya, sejajar sasaran MKBF sejauh satu juta km.
“Saya yakin Prasarana akan dapat mencapai sasaran MKBF secara berperingkat terutamanya dengan pengenalan koc-koc tren baharu menjelang Ogos dan memastikan kerja-kerja baikpulih serta penukaran alat ganti untuk tren-tren yang sedia ada dilakukan mengikut jadual penyelenggaraan.
“MKBF ini juga membantu Prasarana untuk menjadi sebuah syarikat yang memacu keunggulan prestasi, menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, serta mempersiapkan tenaga kerja untuk keperluan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Azharuddin berkata, Prasarana menetapkan sasaran untuk mencapai MKBF sejauh satu juta km bagi LRT Laluan Kelana Jaya (KJL), LRT Laluan Ampang (AGL) dan MRT Laluan Kajang (KGL), dan MKBF sejauh 150 ribu kilometer untuk Monorel (MRL) menjelang suku ketiga tahun 2026.
Jelas beliau, sasaran MKBF itu adalah setanding dengan sasaran pengendali rel utama di seluruh dunia.
“Pada 2022, Prasarana mencatatkan MKBF antara 151,000 km hingga 178,000 km untuk AGL, KJL dan KGL, dan 84,000 km untuk MRL manakala pada Mac 2023, Prasarana melancarkan fasa kedua MRT Laluan Putrajaya (PYL) dan kini sedang memantau prestasinya,” katanya. – UTUSAN











