KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membeli semua 17,708 tiket penerbangan sehala bagi laluan Semenanjung Malaysia ke Sabah serta Sarawak dan menjual semula pada harga RM300 sempena perayaan Pesta Keamatan dan Hari Gawai.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jualan tiket yang akan dibuka bermula pada 20 Mei ini merupakan inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat pulang beraya di kampung.
Menurut Anthony Loke, jualan tersebut melibatkan 8,903 tiket bagi tempoh 27 hingga 29 Mei bersempena Pesta Keamatan dan 8,805 tiket bagi tempoh 29 hingga 31 Mei untuk Hari Gawai.
“Kementerian Pengangkutan telah berunding dengan semua syarikat penerbangan domestik iaitu Malaysia Airlines, Air Asia, Batik Air dan MyAirlines supaya menjual tiket sehala ke Sabah dan Sarawak bagi tempoh berkenaan pada harga RM300.
“Baki harga tiket yang melebihi RM300 akan dibayar oleh kerajaan dan harga ini tidak termasuk cukai dan fi,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), di sini, hari ini. – UTUSAN










