PETALING JAYA: Persekitaran ekonomi yang tidak menentu di Amerika Syarikat (AS) dan pengukuhan dolar negara itu mendorong kepada kedudukan ringgit yang semakin lemah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini terbukti apabila banyak mata wang asing turut merudum disebabkan kekuatan dolar AS dan bukan hanya ringgit yang terkesan.
Katanya, jika dibandingkan jurang ringgit dengan mata wang lain, ada situasi yang mana ringgit merapatkan jurang dengan mata wang asing tertentu.
“Senario ini berlaku disebabkan faktor permintaan terhadap ringgit dan juga mata wang asing tersebut. Kayu pengukur utama kepada ringgit masih lagi pergerakan dolar AS.
“Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal dasar monetari manakala kerajaan melalui Kementerian Kewangan mengawal dasar fiskal. Ringgit boleh dipengaruhi oleh kedua-dua polisi ini,” katanya di sini semalam.
Semalam, ringgit didagangkan pada 4.5450/5370 daripada kelmarin 4.5255/5375 berbanding dolar.
Beliau berkata, kerajaan boleh menggalakkan lebih banyak eksport dan mengurangkan kebergantungan kepada import, selain memperkasakan industri domestik.
Sementara itu, beliau berkata, BNM boleh mengawal kadar faedah supaya pelabur tertarik untuk melabur di negara ini, dan pada masa yang sama menggalakkan perkembangan aktiviti perniagaan di dalam negara.
“Jika negara masih terlalu bergantung kepada import makanan, ringgit yang lemah akan menyebabkan harga import makanan menjadi tinggi, sekaligus meningkatkan kadar inflasi makanan di negara kita dan menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia, Fuad Mohamed Berawi berkata, kejatuhan ringgit didorong oleh langkah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang menaikkan kadar faedah dalam usaha agresif untuk mengekang inflasi.
Menurutnya, kadar faedah yang tinggi telah meningkatkan permintaan untuk dolar daripada pelabur antarabangsa yang mencari keuntungan.
“Seiringan dengan itu, banyak pelabur telah menarik portfolio pelaburan dari pasaran luar dan membawa masuk ke AS memandangkan kadar yang lebih tinggi di A.S. Aliran modal antarabangsa ke AS sekaligus menyumbang kepada peningkatan dolar.
“Selain itu, dolar AS juga menjadi mata wang rizab dunia dan pelabur melihatnya sebagai tempat selamat semasa tempoh ketidaktentuan dan ketidakstabilan ekonomi terutamanya akibat kemelesetan ekonomi global, perang di Ukraine, serta kegagalan bank baru-baru ini,” ujarnya. – UTUSAN











