PETALING JAYA: Di sebalik ekonomi global yang tidak menentu, prestasi perdagangan Malaysia pada April susut 14.5 peratus kepada RM198 bilion tahun ke tahun, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, bagi tempoh berkenaan, eksport dan import Malaysia mencatatkan penurunan masing-masing susut 17.4 peratus dan 11.1 peratus kepada RM105.4 bilion dan RM92.6 bilion.
Bagaimanapun, jelasnya, imbangan dagangan kekal mencatatkan lebihan dengan nilai RM12.8 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia merosot 17.4 peratus daripada RM127.6 bilion kepada RM105.4 bilion pada April 2023 didorong oleh eksport domestik yang lebih rendah.
Beliau berkata, eksport domestik bernilai RM80.4 bilion, menyumbang 76.3 peratus kepada jumlah eksport, menyusut 22.3 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.
“Sebaliknya, eksport semula berjumlah RM25.0 bilion mengukuh 3.8 peratus berbanding April 2022. Sejajar dengan prestasi eksport, import pada April 2023 turut mencatatkan penurunan 11.1 peratus daripada RM104.1 bilion kepada RM92.6 bilion.
“Jumlah dagangan berkurang kepada RM198.0 bilion, 14.5 peratus lebih rendah daripada RM103.5 bilion pada April 2022 dan lebihan dagangan dengan nilai RM12.8 bilion, turun 45.3 peratus.
“Sementara itu, perbandingan bulanan menunjukkan prestasi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga mencatatkan penguncupan masing-masing 18.7 peratus, 10.1 peratus, 14.9 peratus dan 51.9 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd. Uzir, daripada kumpulan barangan, sebanyak 191 daripada 256 kumpulan barangan eksport dan 167 daripada 259 kumpulan barangan import menunjukkan penurunan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Mohd. Uzir berkata, pengurangan eksport disumbangkan terutamanya ke Kesatuan Eropah (-RM3.5 bilion), diikuti China (-RM3.4 bilion), Amerika Syarikat (-RM3.1 bilion), Taiwan (-RM1.9 bilion), Jepun (-RM1.6 bilion), India (-RM1.5 bilion), Vietnam (-RM1.4 bilion) dan Thailand (-RM1.3 bilion).
Beliau berkata, penurunan didorong oleh barangan elektrik & elektronik sebanyak RM3.1 bilion; diikuti minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (-RM2.6 bilion); barangan perkilangan logam (-RM2.5 bilion); bahan kimia & keluaran kimia (-RM2.4 bilion); produk keluaran berasaskan minyak kelapa sawit (-RM1.7 bilion); keluaran getah (-RM1.6 bilion) dan jentera, kelengkapan & peralatan (-RM1.4 bilion).
Sementara itu, penguncupan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (-RM4.5 bilion); petroleum mentah (-RM1.9 bilion); bahan kimia & keluaran kimia (-RM1.8 bilion); bijih logam & serpihan logam (-RM1.6 bilion) dan hasil perlombongan lain (-RM836.7 juta).
Katanya, penurunan import disumbangkan terutamanya dari Indonesia (-RM3.0 bilion), diikuti Jepun (-RM2.1 bilion), China (-RM1.7 bilion), Taiwan (-RM1.4 bilion) dan Amerika Syarikat (-RM1.2 bilion).
“Penurunan import mengikut penggunaan akhir disumbangkan oleh permintaan yang lebih rendah bagi barangan perantaraan dan barangan penggunaan. Import barangan perantaraan (48.9 peratus daripada jumlah import) berjumlah RM45.3 bilion, jatuh RM14.5 bilion atau 24.2 peratus.
“Import barangan penggunaan berjumlah RM8.2 bilion, menyusut 1.6 peratus berbanding April 2022, dan merangkumi 8.8 peratus daripada jumlah import,” katanya. – UTUSAN










