Pelan hala tuju peralihan tenaga dilancar Jun ini

Pelan hala tuju peralihan tenaga dilancar Jun ini

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan melancarkan pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akhir Jun ini dalam melaksanakan matlamat sifar bersih negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan telah mengambil langkah berani untuk memperluaskan matlamat iklim negara dan membuka industri tenaga dengan cara yang bermakna.

Menurut Rafizi, bagi memacu industri tenaga boleh perbaharu, Malaysia telah meningkatkan sasaran kapasiti tenaga itu daripada 45 peratus kepada 70 peratus menjelang 2050.

“Pada masa yang sama, kami juga telah menarik balik larangan eksport ke atas tenaga boleh perbaharu dan menjelang akhir Jun 2023, negara akan melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga.

“Pelan ini akan melaksanakan cita-cita sifar bersih dengan mengenal pasti inisiatif impak utama dan rancangan pelaksanaan untuk  dua dekad akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Siri Persidangan Affin 2023 bertemakan ‘Malaysia 2023: Bab Pelaburan Baharu’ di sini.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, pelancaran pelan itu merupakan langkah penting dalam melaburkan wang negara dalam bidang pertumbuhan strategik.

“Walaupun sesetengah pihak mungkin akan mempersoalkan pulangan kewangan bagi sesetengah projek boleh perbaharu, kami bersedia untuk melabur wang dan membuka lapangan kepada seramai mungkin pelabur yang berminat.

“Kami menganggarkan bahawa matlamat ini memerlukan pelaburan sebanyak RM637 bilion, satu jumlah yang akan membentuk semula landskap dan perbualan mengenai tenaga boleh perbaharu di rantau ini dengan ketara,” katanya.

Menurut Rafizi, penstrukturan semula ekonomi memerlukan kerajaan membuat pertaruhan apa yang difikirkan sebagai peluang pertumbuhan paling besar dan laluan yang sepatutnya direka dalam mencapai matlamat.

Justeru itu, katanya dalam skop tersebut pertaruhan terbesar kementerian beliau adalah pada bidang digital dan ekonomi hijau.

Menurut beliau, ia juga bertujuan untuk mengembangkan bakat teknologi dengan cara yang disasarkan supaya negara dapat membina keupayaan yang diperlukan.

“Dalam beberapa bulan lagi, Malaysia akan mewujudkan sistem pertukaran tenaga elektrik rentas sempadan serantau yang akan membolehkan peningkatan kapasiti pesat bagi tenaga boleh perbaharu, dengan bergantung pada kelebihan daya saing wilayah.

“Kami menjangkakan yang ekonomi hijau akan berkembang secara besar-besaran dan menjadi penggerak ke arah pertumbuhan Asia Tenggara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN