PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) terus mengembangkan perniagaan bukan bahan api secara agresif, walaupun keuntungan bagi segmen itu menurun dengan ketara tahun ke tahun pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Memetik laporan The Edge Markets, segmen kemudahan atau bukan bahan api menyumbang sebanyak RM16.12 juta atau 1.4 peratus daripada keuntungan operasinya iaitu sebanyak RM1.15 bilion.
Segmen itu menyaksikan penurunan 60 peratus dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM15.7 juta, daripada RM39.4 juta untuk tahun kewangan 2021.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, penurunan itu sudah dijangka memandangkan segmen itu masih di peringkat awal pembangunan.
Beliau yakin apabila segmen tersebut terus berkembang, ia akan memberikan bahagian hasil yang lebih tinggi.
“Sebuah cawangan Café Mesra mula pulang modal sekitar sembilan bulan. Bagi cawangan yang tidak pulang modal, ia boleh dialihkan ke lokasi yang lebih baik dan boleh mendapatkan lebih banyak data iaitu apa yang dijual dan di mana,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan di sini hari ini.
Sementara itu, PDB dalam kenyataannya mengumumkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1.135 bilion di tengah-tengah pemulihan ekonomi dan peningkatan permintaan pelanggan.
PDB mencatatkan pendapatan sebanyak RM36.7 bilion berikutan prestasi yang lebih kukuh, mewakili peningkatan 62 peratus.
Syarikat mengisytiharkan jumlah dividen sebanyak 76 sen sesaham biasa, yang mewakili 100 peratus nisbah pembayaran.
Azrul Osman Rani berkata, prestasi kewangan PDB yang kukuh adalah gambaran usaha teguh terhadap perniagaan teras syarikat serta kerja keras dan komitmen kakitangan kami.
“Kami membuat pelaburan strategik dan maju ke hadapan dengan pendekatan tertumpu. Syarikat dapat memenuhi keperluan pelanggan dan menyampaikan pulangan pemegang saham walaupun beroperasi dalam persekitaran pasaran yang mencabar,” ujarnya. – UTUSAN










