PETALING JAYA: Pasaran buruh dalam negara berkembang pada suku pertama 2023, dipacu oleh perkembangan semasa aktiviti ekonomi, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan peningkatan yang ketara pada suku pertama 2023 dan kekal disokong oleh permintaan domestik, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, penurunan kadar pengangguran yang berterusan dan peningkatan peluang pekerjaan menunjukkan momentum positif dalam pasaran buruh, mewujudkan asas yang kukuh untuk mengekalkan perbelanjaan pengguna dan perkembangan ekonomi.
“Melangkah ke suku kedua 2023, pasaran buruh Malaysia dijangka kekal kukuh disokong oleh pembangunan ekonomi yang berterusan, inisiatif kerajaan dan daya tahan industri utama.
“Dengan membina persekitaran yang kondusif bagi pertumbuhan perniagaan dan melabur dalam kemahiran tenaga kerja, Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang-peluang baru yang muncul dan mengekalkan prospek pasaran buruh yang positif,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir berkata, permintaan domestik yang kukuh telah mewujudkan persekitaran yang menggalakkan bagi industri, menyebabkan peningkatan dalam pengeluaran dan permintaan buruh yang lebih tinggi pada suku pertama.
Jelasnya, pertumbuhan berterusan dalam permintaan domestik mencerminkan daya tahan ekonomi dan pasaran buruh Malaysia dalam mengharungi keadaan ekonomi global yang mencabar di samping mengekalkan perkembangan yang stabil.
“Oleh itu, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus pada suku sebelumnya,” katanya.
Mohd. Uzir menjelaskan, sejajar dengan perkembangan ekonomi yang berterusan, bilangan tenaga buruh meningkat 2.5 peratus untuk merekodkan 16.65 juta orang, terutamanya disumbangkan oleh kenaikan 3.1 peratus penduduk bekerja, merangkumi 16.06 juta orang (ST1 2022: 15.57 juta).
Sebaliknya, bilangan penganggur menurun sebanyak 12.6 peratus kepada 586,900 orang, mencatatkan kadar pengangguran terendah sejak kemunculan Covid-19, menyamai dengan kadar yang direkodkan pada ST1 2020 iaitu 3.5 peratus (ST1 2022: 671,200; 4.1 peratus).
Tambahnya, penyertaan buruh yang diukur oleh kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) direkodkan lebih tinggi pada suku dilaporkan, meningkat sebanyak 0.8 mata peratus tahun ke tahun kepada 69.8 peratus (ST1 2022: 69.0 peratus).
Mengulas guna tenaga tidak penuh, Ketua Perangkawan berkata, dorongan daripada permintaan domestik yang kukuh sepanjang suku pertama 2023, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu terus menunjukkan trend penurunan dengan 18.5 peratus berbanding suku yang sama pada 2022, mencatatkan 274,200 orang (ST1 2022: 336,300).
“Justeru itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa menurun sebanyak 28.8 peratus kepada 174,600 orang, dengan kadar 1.1 peratus (ST1 2022: 245,100; 1.6 peratus),” jelasnya. – UTUSAN











