OPR mungkin naik lagi 25 mata asas kepada 3.25 peratus

OPR mungkin naik lagi 25 mata asas kepada 3.25 peratus

KADAR faedah yang lebih tinggi bertujuan menggalakkan orang ramai kurang meminjam dan berbelanja, sebaliknya lebih banyak menyimpan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi tahun ini sebelum kekal berada di paras tertinggi 3.25 peratus.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kenaikan 25 mata asas itu dijangka berlaku semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Julai atau November akan datang.

Menurut Barjoyai, kenaikan 25 mata asas lagi tidak dapat dielak memandangkan kadar OPR tertinggi sebelum ini berada di paras 3.25 peratus sebelum diturunkan kepada 1.75 peratus.

“Saya jangka OPR akan naik lagi pada Julai atau November menjadi 3.25 peratus disebabkan BNM perlu kembali kepada tahap di mana ia mempunyai kawalan penuh untuk bertindak apabila keadaan memerlukan di masa hadapan.

“Kalau kita lihat sebelum kegawatan kadar dia memang 3.25 peratus tapi kemudian bila kegawatan berlaku dalam tempoh enam bulan BNM menurunkan OPR menjadi 1.75 peratus dan kekal untuk lebih daripada setahun.

“Kemudian dalam masa sembilan bulan ekonomi pulih BNM menaikkan semula OPR dalam masa enam bulan dan sekarang sudah setahun BNM menaikkan OPR untuk mencapai semula paras 3.0 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, tindakan BNM menaikkan OPR diibaratkan seperti jentera bomba yang bergegas ke lokasi kebakaran bagi mema­dam api sebelum kembali pulang ke stesen selepas kebakaran dipadamkan.

“Kalau mahu mudah faham kita lihat seperti jentera bomba, apabila berlaku kebakaran ia segera turun memadamkan kebakaran dan bila api sudah di­padam dia kena kembali ke stesen.

“Jadi begitu juga OPR bila dia kena kembali ke stesen ia adalah tahap 3.25 peratus,” katanya.

Kelmarin, BNM membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus selepas kali terakhir ia dinaikkan pada November tahun lalu.

Keputusan BNM itu sekali gus menolak jangkaan majo­riti pakar ekonomi sebelum ini yang meramalkan OPR akan dikekalkan pada 2.75 peratus sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKMM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, tindakan bank pusat itu dilihat tidak bertepatan dengan situasi ekonomi rakyat ketika ini.

Menurut beliau, rakyat terutamanya peminjam yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 masih bergelut membahagikan perbelanjaan isi rumah rentetan daripada kenaikan OPR empat kali berturut-turut tahun lalu.

“Kita tahu BNM ada pemikiran tersendiri, tetapi apabila OPR naik maka bayaran balik pinjaman terutamanya bank akan meningkat dan ini akan menyusahkan lagi peminjam.

“Sudahlah sebelum ini mereka tambah bayaran pinjaman selepas OPR naik empat kali tahun lepas dan ini naik lagi sedangkan kita tahu gaji belum naik, belum disemak jadi macam mana hendak menolong mereka?,” soalnya.

Abu Sofian berkata, de­ngan kenaikkan OPR kepada 3.0 peratus peminjam tiada pilihan selain membayarnya atau terpaksa memanjangkan tempoh pembayaran jika mereka tidak berkemampuan.

Sebelum ini, BNM pada Mei, Julai, September dan November tahun lalu menaikkan OPR de­ngan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus semasa pandemik Covid-19. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×