Menginstitusikan kerangka kepimpinan Rasulullah

Menginstitusikan kerangka kepimpinan Rasulullah SAW satu keharusan

Menziarahi makam Nabi SAW di Masjid Nabawi, Madinah adalah salah satu tanda kasih kita kepada Rasulullah, insan pembawa rahmat bagi sekalian alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sebelum nubuwwah Nabi Muhammad SAW, Baginda terlebih dahulu menggalas amanah mengetuai rombongan perniagaan ke Syam bagi pihak Saidatina Khadijah RA. Baginda telah melunaskan amanah tersebut dengan cemerlang dan hasilnya adalah keuntungan perniagaan yang tinggi. Di dalam kitab sirah Ar-Raheequl Makhtum, telah dirakamkan sifat-sifat Baginda Rasulullah dalam melaksanakan urusniaga perniagaan, antaranya akhlak yang terpuji, tahap kejujuran yang tinggi, pemikiran yang mendalam, keikhlasan dan, yang paling penting, keimanan dalam melaksanakan amanah tersebut. Selain terlibat dalam urusan perniagaan, baginda juga pernah menggembala haiwan ternakan, suatu bentuk latihan pengurusan yang juga dilalui oleh beberapa nabi sebelum Baginda.

Berdasarkan riwayat ini, boleh dirumuskan secara am, bahawa Baginda Rasulullah, sebelum dianugerahkan Nubuwwah, telah dilazimkan dengan pengalaman menggalas amanah kepimpinan, merangka dan melaksanakan strategi, pengurusan cekap, membudayakan kecemerlangan, membuat keputusan penting dan penerapan nilai tata kelola yang tinggi. Ini terbukti apabila Baginda telah diberi gelaran Al-Amin iaitu seseorang yang amat dipercayai oleh penduduk kota Makkah ketika itu.

Pengalaman-pengalaman ini menyumbang kepada kemahiran asas kepimpinan (foundational leadership skills) untuk Baginda melaksanakan amanah agung dalam menyampaikan wahyu dan petunjuk Allah SWT kepada manusia.

Apabila Baginda berhijrah ke Madinah pada tahun ke tiga belas kenabiannya dan dengan terbinanya Masjid Nabawi, Baginda berupaya dan berjaya menginstitusikan kerangka kepimpinan Baginda terutamanya dalam menerajui usaha penyebaran ajaran Islam. Masjid bukan sahaja menjadi ruang untuk memenuhi tuntutan menunaikan solat lima waktu tetapi peranannya jauh lebih penting dan strategik dari itu terutamanya dalam usaha menegakkan syiar Islam.  Dengan terlaksananya institusi masjid disokong dengan penerapan nilai kepimpinan Rasulullah, kelestarian dan kemampanan usaha penyampaian dan penyebaran serta pengumpulan ilmu-ilmu ajaran Islam telah dapat diperkukuhkan, ditambah baik dan diselaraskan, walaupun selepas wafatnya Baginda Rasulullah.

Melihat contoh yang dilaksanakan oleh Baginda Rasulullah, langkah untuk menginstitusikan kerangka kepimpinan adalah satu keharusan untuk memastikan kelangsungannya.  Melaluinya, sebuah institusi yang telus, mampan dan cemerlang akan dapat diwujudkan. Di Malaysia, antara contoh pelaksanaan usaha ini adalah dengan melihat bagaimana corak kepimpinan institusi-institusi kewangan Islam yang di kawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Institusi-institusi ini selain ditadbir dan diurus selaras dengan kerangka kawal selia yang ketat, ianya masih berupaya merekodkan keuntungan berterusan serta mampu menyediakan peluang pekerjaan yang berdaya-saing kepada anak bangsa. Selain dari itu, institusi-institusi ini juga berupaya melunaskan zakat perniagaan serta memanfaatkan kerangka instrumen wakaf dan sedekah dalam usaha meluaskan jaringan pemegang taruh sosialnya terutamanya dalam membantu golongan B40 dan kumpulan asnaf. Sesetengah institusi ini juga telah mengorak langkah menyediakan ruang solat fardhu harian dan solat Jumaat setanding dengan masjid-masjid yang lain.

Faktor utama yang membolehkan matlamat komersial dan sosial dapat dilaksanakan serentak adalah corak kepimpinan di institusi-institusi ini. Ianya satu model kepimpinan yang unik yang harus diinstitusikan bagi membolehkannya dikembangkan dan serta ditambah baik dengan menerapkan nilai-nilai kepimpinan Rasulullah dengan lebih kukuh. Ianya boleh dijadikan setanding atau lebih baik dari model-model kepemimpinan global yang lain. Amanah ini terletak pada pemegang taruh sedia ada untuk mengorak langkah melaksanakannya. Rendah gunung, tinggi harapan.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×