Kuala Lumpur jadi hab syarikat pemula, industri digital serantau

Kuala Lumpur jadi hab syarikat pemula, industri digital serantau

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan industri digital  serantau untuk menarik pelaburan dan bakat digital ke negara ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, langkah itu memerlukan perubahan dasar yang agresif mencakupi pelbagai bidang, termasuk penyatuan usaha agensi-agensi kerajaan, proses visa pekerjaan lebih cekap dan terbuka, insentif digital lebih menarik dan penghasilan tenaga kerja  dalam industri digital pada skala nasional.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain untuk merancakkan ekonomi digital negara dengan dua sasaran utama iaitu pertama menyelaraskan sistem sokongan awam melalui pelbagai agensi ke arah pendekatan bersepadu untuk menambah baik ekosistem digital lebih berkesan.

“Ini akan  meningkatkan jumlah dan prestasi syarikat pemula, serta mempercepatkan  peralihan sektor swasta kepada ekonomi digital.

“Kedua, memulakan pembangunan konsep dan penyelarasan fungsi di antara  agensi-agensi kerajaan ke arah pelaksanaan kerajaan digital (govtech) yang menghasilkan produk-produk perkhidmatan awam berasaskan data dan digital secara bersepadu,” katanya dalam kenyataan.

Rafizi berkata, seorang pakar dalam membangunkan hub syarikat pemula, Jack Selby melahirkan minat untuk membantu  Malaysia membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat syarikat pemula dan  industri digital serantau.

Katanya, ia hasil perbincangan beliau bersama  Pengarah Urusan Thiel Capital dan pencetus Arizona  Technology Innovation Summit itu semasa Forum Ekonomi Qatar baru-baru ini.

Jack Selby adalah kakitangan terawal PayPal bersama-sama kumpulan pengasas  syarikat seperti Elon Musk, Peter Thiel dan Reid Hoffman.

Beliau berkata, kumpulan pengasas  PayPal ini menjadi tenaga utama yang menggerakkan industri digital dari Silicon Valley melalui penglibatan mereka di dalam syarikat-syarikat digital terkenal,  antaranya Tesla, SpaceX, Youtube, Facebook, LinkedIn dan OpenAI.

“Saya berminat menjalin perkongsian dengan beliau dalam bidang digital kerana usahanya membangunkan Arizona sebagai pusat syarikat pemula yang baru di luar Silicon Valley.

“Selepas kerjaya di Silicon Valley, beliau kembali ke negeri asalnya Arizona dan membangunkan Arizona sebagai pusat baharu syarikat pemula, yang kini berjaya menarik syarikat-syarikat pemula,” katanya.

Rafizi berkata, kepakaran beliau akan membantu negara merangka dasar yang lebih mesra syarikat pemula dan mewujudkan jaringan kerjasama dalam bidang digital yang melonjakkan nama Kuala Lumpur sebagai destinasi utama industri digital di rantau ini.

Untuk itu, kata beliau, kerajaan akan mengumumkan dasar dan inisiatif khusus secara berperingkat ke  arah menzahirkan cita-cita menjadikan Kuala Lumpur sebagai daya tarikan  syarikat pemula serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×