PETALING JAYA: Kadar faedah yang lebih tinggi membantu memutuskan kitaran kenaikan inflasi melampau yang akan memudaratkan ekonomi, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, keadaan mungkin menjadi lebih buruk jika Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menunggu sehingga inflasi menjadi tidak terkawal sebelum bertindak.
Pada masa itu katanya, MPC mungkin perlu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) lebih tinggi dan secara lebih mendadak.
“Hal ini akan lebih memudaratkan isi rumah dan perniagaan, terutamanya apabila kenaikan OPR yang mendadak berlaku dalam persekitaran inflasi yang tinggi, yang seterusnya menjejaskan kuasa beli semua orang dan mengakibatkan kemelesetan ekonomi.
“Oleh itu, dasar monetari perlu dilaksanakan awal bagi mencegah semua ini daripada berlaku pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan mengenai soalan lazim tentang dasar monetari.
Menjawab soalan mengapa kadar faedah dinaikkan terutama apabila kos sara hidup semakin tinggi, bank pusat itu menjelaskan, pelaksanaan dasar yang betul pada masa yang tepat adalah penting.
Sebagai contoh, jika MPC mengekalkan OPR terlalu rendah untuk tempoh yang lama apabila ekonomi semakin pulih secara stabil, hal itu boleh menyebabkan perbelanjaan dan peminjaman yang terlalu banyak, seterusnya mendorong kenaikan harga.
Pada masa ini jelasnya, ekonomi Malaysia tidak lagi mengalami krisis dan bertambah baik secara stabil dan MPC telah membuat pelarasan pada OPR secara beransur-ansur.
“MPC juga mahu mengelakkan daripada keadaan harga terus meningkat dengan pantas untuk banyak barangan. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk apabila harga yang semakin meningkat menyebabkan upah lebih tinggi dan seterusnya menyebabkan harga meningkat lagi.
“Contohnya, jika anda pemilik perniagaan, pekerja anda akan mula meminta kenaikan gaji apabila harga semakin naik di merata-rata tempat dan dijangka terus naik. Anda kemudiannya perlu menaikkan gaji mereka dan memindahkan kos tambahan ini melalui harga jualan yang lebih tinggi.
“Jika tindakan ini tidak seiring dengan peningkatan produktiviti, kenaikan gaji yang dikecapi tidak akan memberi sebarang makna kerana harga barangan dan perkhidmatan juga menjadi lebih tinggi, lantas menjejaskan lagi kuasa beli. Kitaran buruk ini boleh berlarutan lantas mengakibatkan inflasi melampau yang akan memudaratkan ekonomi,” jelasnya.
Tambah BNM, OPR ditetapkan untuk mempengaruhi kadar kegiatan ekonomi serta inflasi, dan sejak diperkenalkan pada 2004, banyak pelarasan telah dibuat iaitu menaik dan mengurangkan OPR mengikut keperluan ekonomi.
Katanya, paras OPR tertinggi ialah 3.50 peratus pada April 2006, di mana ketika itu ekonomi sedang berkembang dengan stabil dengan inflasi IHP (Indeks Harga Penggu) adalah pada 4.6 peratus dan OPR lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.
Paras OPR terendah pula ialah 1.75 peratus pada Julai 2020 hingga Mei 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik Covid-19.
“Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Hal ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis.
“MPC sentiasa berpandangan ke hadapan apabila menetapkan dasar monetari kerana kesan pelarasan OPR terhadap kegiatan ekonomi dan inflasi tidak berlaku dalam sekelip mata. Pakar ekonomi menganggarkan dasar monetari lazimnya mengambil satu tahun untuk memberikan kesan paling ketara kepada ekonomi. Hal ini kerana perubahan tingkah laku isi rumah dan perniagaan biasanya memerlukan masa,” jelasnya. – UTUSAN









