PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa salah satu tingkat di bangunannya di Jalan Gasing dekat sini terbakar pagi ini.
Menurut KWSP, Jabatan Bomba dan Penyelamat kini berada di lokasi dan sedang mengawal kebakaran, dan akan menyiasat punca kebakaran.
“Bangunan itu kini kosong dan tidak berpenghuni, dan tiada kecederaan dilaporkan buat masa ini. Butiran lanjut akan diberikan dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, bangunan lama KWSP di Jalan Gasing, dekat sini terbakar pagi ini.
Kejadian itu dilaporkan berlaku kira pukul 10 pagi dan tular dalam laman sosial.
Sebelum ini, kebakaran dilaporkan di bangunan itu pada 12 Februari 2018.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan memberikan maklumat lanjut berhubung kejadian terbabit. – UTUSAN










