Johor rekod RM140 bilion pelaburan O&G

Johor rekod RM140 bilion pelaburan O&G

MOHD. HAIRI MAD SHAH (tengah) memukul gong gimik perasmian OGSE Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sektor minyak dan gas (O&G) merekodkan pelaburan terkumpul sebanyak RM140 bilion sejak industri itu dimulakan secara aktif di negeri ini sejak awal tahun 2000.

Pemangku Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Izhar Hifnei Ismail berkata, sebahagian besar daripada pelaburan itu dibuat di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) sejak 2012.

Menurutnya, lokasi pelaburan lain sektor berkenaan di negeri ini termasuk di Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan Tanjung Bin.

“Setakat 31 Mac tahun ini, PIPC telah merekodkan jumlah pelaburan yang direalisasikan sebanyak RM124 bilion hasil daripada pelaburan-pelaburan termasuk oleh Petronas dan Dialog Group.

“Namun sekiranya dicampur dengan projek minyak dan gas yang terlebih dahulu dijalankan di Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan Tanjung Bin, jumlah pelaburan telah direalisasi adalah sebanyak RM140 bilion.

“Dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang ini, kita ya­kin akan ada pelaburan baharu daripada syarikat-syarikat asing yang melihat potensi besar PIPC di Pengerang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Jelajah Sektor Perkhid­matan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini.

Yang turut hadir, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC), Mohd. Yazid Jaafar.

Izhar Hifnei berkata, pembangunan pusat penapisan minyak dan pemprosesan petrokimia di PIPC juga telah mewujudkan sebanyak 7,415 peluang pekerjaan dengan dianggarkan sebanyak 70 peratus jawatan itu disandang rakyat tempatan.

“PIPC ini juga masih terus berkembang dengan kini telah memasuki fasa kedua daripada keseluruhan empat fasa yang dirancangkan,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Hairi berharap, program Jelajah OGSE Johor terus diadakan pada masa depan termasuk pada skala lebih kecil supaya dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat negeri ini.

“Program ini bagus bagi perkembangan industri minyak dan gas di Johor kerana bukan sahaja menyumbang kepada sektor ekonomi negeri, malah juga meningkatkan ekonomi rakyat menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Selain di PIPC, sektor sama turut dibangunkan di Maharani Gateway, Muar. Sehubungan itu, saya berharap syarikat tempatan tidak melepaskan pe­luang untuk melibatkan diri dan mengambil manfaat disediakan kerajaan pusat dan negeri dalam sektor ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×