PETALING JAYA: Inflasi Malaysia meningkat dengan kadar perlahan kepada 3.3 peratus pada April 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.0 berbanding 125.9 bulan sama tahun sebelumnya, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurut Jabatan Perangkaan, kenaikan inflasi di Malaysia kekal didorong oleh Restoran & Hotel (6.6%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (6.3%).
Namun begitu, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan Pengangkutan iaitu 2.3 peratus berbanding Mac 2023 (2.4%) sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi.
Katanya, wajaran bagi kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (29.5%), Pengangkutan (14.6%) dan Restoran & Hotel (2.9%) yang meliputi 47.0 peratus daripada wajaran keseluruhan IHP turut memberi impak ketara kepada kadar inflasi dan kos sara hidup.
“Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia pada April 2023 turut didorong oleh peningkatan bagi kumpulan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (3.0%); Pelbagai Barangan & Perkhidmatan (2.5%); Kesihatan (2.1%) dan Perkhidmatan
Rekreasi & Kebudayaan (1.8%).
“Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain dan Pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan 1.6 peratus, manakala kedua-dua Minuman Alkohol & Tembakau dan Pakaian & Kasut pula masing-masing meningkat sebanyak 0.6 peratus dan 0.5 peratus,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN










