KUALA LUMPUR: Negara perlu fokus kepada penstrukturan semula ekonomi jangka panjang bagi mewujudkan nilai dalam ekonomi digital dan transformasi tenaga supaya tidak terlalu terdedah dengan ketidaktentuan global.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sumber pendapatan negara ketika ini bergantung kepada tiga kategori utama iaitu minyak dan gas, komoditi iaitu minyak sawit dan semikonduktor dalam pembuatan.
Katanya, ketiga-tiga kategori tersebut sangat sensitif kepada ketidaktentuan global dan negara perlu dididik untuk memahami bahawa masa depan ekonomi negara adalah dalam sektor bernilai tinggi dan kepentingan Revolusi Perindustrian Keempat di Malaysia (4IR)
“Saya gembira apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2023 melebihi jangkaan dan antara yang terbaik di rantau ini.
“Saya juga gembira apabila inflasi kita stabil dan kelihatan seperti menurun, namun saya tidak akan terlalu selesa kerana kita masih terdedah kepada ketidaktentuan global.
“Seluruh dunia juga bercakap tentang kebarangkalian ekonomi yang perlahan dan kemelesetan. Negara juga terdedah dengan apa-apa keputusan yang dibuat oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Pusat Revolusi Perindustrian Keempat Malaysia (Pusat 4IR) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Rafizi berkata demikian ketika mengulas mengenai KDNK suku pertama yang lebih baik daripada dijangkakan.
Jumaat lalu, Bank Negara Malaysia mengumumkan KDNK mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 didorong terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.
Pertumbuhan pada 2023 disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang meningkat, aktiviti pelaburan yang berterusan, pasaran buruh yang bertambah baik dan aktiviti pelancongan yang lebih giat. – UTUSAN










