PETALING JAYA: DC Healthcare Holdings Berhad (DC Healthcare) menandatangani perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn. Bhd. (M&A) untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
Berdasarkan pendedahan prospektus seperti yang diterbitkan di laman web Bursa Securities, penyenaraian DC Healthcare melibatkan terbitan awam sebanyak 199.26 juta saham.
Jumlah itu mewakili 20.0 peratus daripada jumlah saham terbitan Kumpulan yang ditawarkan pada harga IPO dan tawaran jualan sebanyak 99.63 juta saham mewakili 10.0 peratus daripada modal saham yang diperbesarkan kepada pelabur terpilih.
Di bawah perjanjian itu, M&A akan menaja jamin 79.70 juta saham terbitan yang disediakan kepada orang awam Malaysia dan melalui peruntukan borang merah jambu. Baki 119.56 juta saham terbitan dan 99.63 juta saham tawaran yang akan diletakkan oleh M&A tidak akan ditaja jamin.
Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr. Chong Tze Sheng berkata, Kumpulan tidak sabar bekerjasama dengan M&A untuk IPO, meneruskan perjalanan pertama Kumpulan dengan pembukaan klinik pertama pada 2016.
Klinik itu menyediakan perkhidmatan perubatan am dan kemudian beralih kepada menyediakan dan memberi tumpuan kepada perkhidmatan estetik.
“Kami kini mempunyai 12 klinik perubatan estetik dan merancang untuk membuka lebih banyak lagi dengan menggunakan hasil daripada IPO,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Kewangan Korporat M&A Securities, Datuk Bill Tan pula berkata, kekuatan DC Healthcare adalah penyediaan prosedur tidak invasif dan invasif minimum dalam perkhidmatan estetik.
Kata beliau, Kumpulan itu mempunyai pasukan doktor estetik yang berkelayakan serta doktor perubatan di semua kliniknya yang menyediakan perkhidmatan perubatan estetik dan am.
“Permintaan terhadap perkhidmatan estetik telah berkembang seiring dengan kemewahan rakyat Malaysia yang semakin meningkat dan kami tidak ragu-ragu bahawa DC Healthcare akan dapat memanfaatkan permintaan ini,” katanya.
Bagi tempoh lima bulan berakhir 31 Mei 2022 (FPE2022), Kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM18.45 juta berbanding RM8.48 juta pada FPE2021 dengan margin keuntungan bersih masing-masing sebanyak 22.08 peratus dan 16.47 peratus. Perkhidmatan estetik menyumbang 92.11 peratus kepada jumlah pendapatan untuk FPE2022 dan 87.46 peratus pada FPE2021. – UTUSAN










