PETALING JAYA: Citaglobal Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Engineering Services Sdn. Bhd., telah menerima surat anugerah bagi kerja-kerja projek Landasan Berkembang Elektrik 2 Lembah Klang (KVDT2) bernilai RM261 juta daripada Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA).
Menurut Citaglobal, skop kerja termasuk membekal, menghantar, membina, menyiapkan dan menyelenggara jambatan, pembetung, saliran dan pagar yang merupakan sebahagian daripada projek KVDT2.
Katanya, kontrak bermula 1 Jun 2023 dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dari tarikh permulaan pelaksanaan.
“Susulan itu, buku tempahan sedia ada Citaglobal akan meningkat kepada kira-kira RM1.0 bilion. Pemerolehan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan, pendapatan sesaham dan aset bersih Kumpulan sepanjang tempoh kontrak,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria melahirkan rasa syukur akan pemerolehan kontrak itu dan memberitahu, syarikat akan memainkan peranan dalam pembinaan KVDT2.
“Kami akan turun padang dan berusaha untuk menyiapkan projek itu dalam tempoh masa yang ditetapkan. Kontrak ini juga meningkatkan buku tempahan Citaglobal menghampiri paras RM1 bilion, yang mana mengukuhkan lagi kejelasan pendapatan syarikat,” katanya.
Projek Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 ialah usaha pemulihan rel yang meliputi 265 kilometer rangkaian landasan berkembar elektrik di Lembah Klang.
KVDT 2 meliputi laluan dari Salak Selatan ke Seremban, dan dari Simpang Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Klang. DMIA ialah kontraktor utama KVDT dan kini menjalankan projek KVDT 2 dengan usaha sama Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd. – UTUSAN










