PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, di tengah-tengah laporan bahawa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) menghampiri persetujuan untuk menaikkan siling hutang negara itu.
Memetik laporan Bernama, pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 0.49 mata kepada 1,403.47, daripada 1,402.98 pada penutup Jumaat.
Indeks barometer dibuka 2.49 mata lebih kukuh pada 1,405.47.
Pasaran yang lebih luas menyaksikan, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 186 berbanding 163, manakala 229 kaunter tidak berubah, 1,697 kaunter lagi tidak diniagakan dan 53 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 323.64 juta unit bernilai RM149.84.64 juta.
Naib Presiden Penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn. Bhd., Thong Pak Leng berkata, berita terkini bahawa perjanjian tentatif telah dicapai untuk mengelak keingkaran AS mungkin mendorong beberapa aktiviti pembelian di pasaran serantau, dengan itu mungkin menyaksikan beberapa pengumpulan saham di dalam negara.
“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran julat 1,400-1,410 hari ini,” katanya.
Malacca Securities Sdn. Bhd. pula berkata, pelabur juga mungkin memantau PMI Pembuatan Global S&P Malaysia dan AS, serta kadar pengangguran AS minggu ini.
Katanya, minyak mentah Brent diniagakan melebihi AS$76 setong, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) meningkat melebihi RM3,500 setan, dan mungkin meningkatkan permintaan bagi minyak dan gas, serta kaunter berkaitan sawit. – UTUSAN











